Thursday 21 June 2012

Bab 16 : Ingin Kulafazkan Cinta


16.
                Jam tangan berjenama Solvi Titus dibelek lagi. Kemudian, Ayu mengeluh lagi. Dia mula bosan dan matanya meliar memerhati ke sekeliling. Sudah hampir setengah jam dia berdiri di sini bagai tunggul kayu tapi insan yang ditunggu tak kunjung tiba. Batang hidung pun tak Nampak! Ikutkan hati yang sedang membara, memang dia angkat kaki tetapi mengenali orang yang ingin bertemu dengannya itu bagaimana sikapnya, dia menyabarkan hati. Ayu mundar mandir di hadapan pintu masuk Mid Valley yang gah. Sambil hati merungut geram, bibirnya diketap kuat. Geram sangat dengan lelaki yang ditunggu.
                Teringatkan perbualan semalam, makin membara hatinya. Sudahlah entah dari mana lelaki itu mendapat nombor telefon bimbitnya, kemudian memaksa dia untuk berjumpa pula. Bukan, bukan memaksa, sebaliknya lelaki itu tegar mengugut untuk menjemput dia di rumah kalau dia menolak untuk berjumpa. Sakit hati bila memikirkan perangai lelaki yang seorang itu. Dan, dia pula, entah kenapa akhirnya akan menurut sahaja kehendak lelaki itu walaupun letih bertengkar pada awalnya.
                “Sorry, sorry… I lambat. Parking penuh, berpusing – pusing carik parking tadi.” Suara garau itu menerjah telinganya ketika dia asyik mengutuk di dalam hati. Segera berpaling pada tuan empunya suara dengan wajah marah. Sudahlah lambat, tanpa salam terus menyerbu dia begitu.
                “Waalaikumusalam…” Perlinya perlahan. Lelaki tegap yang berdiri dihadapannya pamer senyum yang menggoda. Dia tahu Ayu marah dan berharap dengan senyuman itu mampu meredakan kemarahan Ayu. Jarinya melurut rambut ke belakang. Tubuh Ayu yang tersarung baju kurung Pahang dipandang atas bawah.
                “Assalamualaikum… Sorry, I terlambat. Dah lama you tunggu?” Idraki masih pamer senyum. Matanya juga masih melekat pada wajah jernih yang cantik dengan sepersalinan baju kurung Pahang itu. Warna hitam berbunga merah hati memang menyerlahkan wajah yang sedia ayu. Nampak berseri – seri seraut wajah lembut itu.
                “Encik tetapkan pukul sepuluh, kan? Sekarang dah pukul berapa?” Ujar Ayu marah. Lewat setengah jam dan biarkan dia tercegat sendirian di depan pintu masuk ini, memang mencabar kesabarannya. Menyedari mata Idraki yang liar memerhati tubuhnya, Ayu turut tunduk memeriksa tubuh, takut ada yang tak kena dengan pakaiannya.
                “Tengok apa? Tak pernah tengok orang pakai baju kurung ke?” Marah Ayu lagi bila Idraki tidak menjawab soalannya tadi. Sedikit terperanjat Idraki namun cepat diselindungi dengan senyuman menggodanya.
                “Cantik…. Kenapa pakai baju kurung ni?” Usik Idraki. Tapi, pujiannya ikhlas. Memang Ayu benar – benar cantik dengan pakaian itu. Ayu merengus geram. Memang sengaja dia pakai baju kurung. Tanda protes, berkali – kali dia menolak keinginan Idraki untuk berjumpa tapi lelaki itu mengugut dia macam – macam. Sudahnya, dia pilih untuk berbaju kurung agar Idraki tidak selesa bertemunya. Lelaki metroseksual seperti Idraki tentu sahaja tidak suka berjalan beriringan dengan wanita berbaju kurung seperti dia sekarang ini.
                “Tak boleh?” Sinis Ayu bertanya. Dia menjeling Idraki yang masih tersenyum. Budget handsome sangat dengan senyuman begitu. Tetapi, dia memang handsome pun. Bertambah handsome bila senyum begitu.
                “Boleh… it suits you. In fact, sesuai sangat. Dah, jom. Kita dah lambat ni.” Idraki cuba mencapai tangan Ayu namun cepat ditepis Ayu. Hish, mamat ni, asyik nak pegang tangan dia je.
                “Nak pergi mana? Semalam kata nak jumpa kat sini?” Tanya Ayu tetapi kakinya tetap melangkah mengikuti langkah Idraki.
                “I tak kata nak jumpa kat sini. You yang tetapkan, kan? Jom, dah lambat ni. You ni, pakai macam ni, macam tau tau aje kan.” Idraki sambung mengusik. Bila melihat kerut di dahi Ayu, semakin lebar senyuman Idraki. Hai Ayu, makin banyak eksperesi muka yang dibuat Ayu, makin dia tertarik melihatnya.
                “Tau apa?” Ayu semakin bingung. Idraki penuh dengan tanda Tanya. Namun sehingga mereka tiba di kereta Idraki dan sehingga mereka menuju destinasi, Idraki masih tidak menjawab soalannya. Ayu bingung dan risau. Bimbang juga sekiranya Idraki membawa dia ke tempat yang tidak sepatutnya.
                “Encik nak bawa saya ke mana ni?” Tanya Ayu apabila kereta Audi A7 Idraki semakin jauh dipandu Idraki. Dari Mid Valley, kini mereka sudah berada di tengah Bandar Kuala Lumpur. Kalau Idraki ingin membawa dia bersiar – siar di sekitar KL ini, kenapa tidak diberitahu sahaja semalam agar senang dia terus ke KL.
                “Some place, but not to worry. I bawa you ke tempat yang selamat.”
                “Boleh percaya ke?” Sindir Ayu. Idraki ketawa kecil. Prejudis sungguh gadis itu dengan dirinya. Tetapi dia tidak salahkan Ayu dengan sikapnya itu.
                “You tak percaya dengan I?”
                “Dengan apa yang dah jadi… nope, I don’t trust you.”
                “Tapi, you still keluar dengan I, kan?”
                “Itu sebab encik paksa saya.” Marah nada suara Ayu. Geram dengan Idraki. Ada sahaja modal lelaki itu nak kenakan dia. Idraki ketawa lagi. Walaupun Ayu sering marah marah bila bersamanya namun aksi Ayu memang manja dan bagai keanak – anakkan.
                “Kita nak kemana sebenarnya ni?” Tegas Ayu lagi bila mereka mula memasuki kawasan perumahan mewah di Damansara. Kemana pula Idraki ingin bawa dia? Takkan pula bawa ke rumah?
                “Be patient, dear. And, please do trust me. I takkan ulang lagi apa yang pernah I buat dekat you.” Idraki mengerling sekilas Ayu disebelahnya. Takut benar Ayu dengan dia. Ayu mengeluh dan memeluk tubuh. Sudah malas ingin bertengkar dengan Idraki. Akhiran nanti, dia juga yang sakit hati. Sudahnya, dia hanya senyap dan menikmati pemandangan luar dari tingkap. Biarkan sahaja Idraki memandu.
******************************************
                “Okey, kita dah sampai. Jom…” Idraki mematikan enjin kereta. Dia menanggalkan tali pinggang keledar dan memerhati Ayu yang terkebil – kebil memandang sekeliling rumah mewah itu. Bibirnya mengukir senyum nipis. Aksi Ayu bagai tidak pernah Nampak rumah sebesar itu pula sedangkan Ayu sendiri tinggal di rumah yang mewah juga.
                “Dear, jom. You nak I dukung you masuk dalam ke?” Laju Ayu menoleh kearah Idraki. Lelaki itu sekarang ini suka sangat memanggil dia ‘dear’. Apa ingat dia ini kekasih lelaki itu kah?
                “Ini rumah siapa?” Tanya Ayu, masih tidak bergerak. Tali pinggang keledar juga masih tidak dibuka. Takut Idraki punya niat jahat terhadapnya dengan membawa dia ke rumah mewah ini.
                “I’ve told you not to worry, kan. Cepat, everyone is waiting.” Idraki masih berteka – teki. Dia sabar menanti Ayu yang perlahan membuka tali pinggang keledar dan akhirnya membuka pintu kereta. Idraki menggeleng perlahan. Susah benar nak buat Ayu percaya dengan dia. Dah sampai di rumah orang tuanya pun, Ayu masih ragu dengan dia. Tapi, tak boleh salahkan gadis ini juga, dia yang beriya – iya menyambunyikan tentang tujuan mereka berjumpa hari ini.
                “Everyone? Ramai orang ke kat dalam?” Tanya Ayu, masih blur dan keliru. Matanya liar memerhati sekeliling. Dari kawasan parkir kereta, bersusun – susun kereta mewah di dalam garaj. Sahlah yang Idraki ni memang kaya raya. Kereta semua yang berjenama mewah, motosikal berkuasa besar juga bersusun gah di tempatnya. Rumah agam itu dah macam istana. Banglo Pak Longnya juga tidaklah sebesar ini.
                “Kita masuk dulu. Nanti I kenalkan you dengan semua orang.” Balas Idraki perlahan. Dia berjalan beriringan dengan Ayu, tidak mahu Ayu berasa kekok berada di kalangan ahli keluarganya nanti. Sampai di pintu masuk utama yang sedia terdedah, langkah Ayu mati.
                “Saya nak kena buat apa?” Bagai dapat menduga sesuatu, Ayu bertanya. Berkerut dahinya bila soalannya hanya dibalas dengan senyuman Idraki. Sejak pagi, lelaki itu tidak pernah jemu menghadiahkan dia dengan senyuman cantik begitu.
                “Just duduk, okey. And, one more thing, please don’t call me encik bila kita kat dalam. Call me by my name. Okey?” Pinta Idraki sungguh sungguh. Dia pamer wajah mengharap. Berharap Ayu akan beri kerjasama padanya hari ini. Lama mereka bertentangan mata sebelum Ayu mengangguk perlahan.
                “Thanks. Okey, jom masuk.” Idraki tersenyum senang. Gembira bila Ayu senang memberikan kerjasama. Dia mendahului langkah Ayu, membawa gadis itu ke tengah ruang. Tergamam Ayu sebentar melihat hiasan di dalam rumah yang melambangkan kemewahan sehingga dia tidak sedar dengan kehadiran orang lain di ruang tamu.
                “Ini ke kawan yang cakap tu?” Suara merdu itu membuatkan Ayu segera menoleh kea rah datangnya suara itu. Seorang wanita dalam lingkungan lewat 40-an berdiri berhampiran dia. Sungguh anggun wanita dihadapannya dengan sepasang baju kurung dari kain jenis opel bertatahkan batu. Idraki pula segera bersalaman dan tunduk mencium tangan wanita itu.
                “Ya, ma. Ini kawan Id, Ayu. Ayu, this is my mum.” Idraki pantas membalas. Diperhatinya Ayu yang teragak – agak bersalaman dengan Puan Sri Aisyah. Dengan penuh santun, Ayu tunduk mencium tangan ibu Idraki.
                “Assalamualaikum, auntie. Err… maaf, saya tak bawa buah tangan untuk auntie. Encik… err… Idraki tak cakap nak ke sini.” Ayu cuba berbahasa. Sesekali dia menjeling Idraki yang Cuma tersengih melihat dia dan Puan Sri Aisyah. Wanita anggun dihadapannya tersenyum senang. Sejuk hati melihat perilaku Ayu yang penuh sopan.
                “Id? Kamu kata dah beritahu Ayu. Tipu mama ye?” Puan Sri Aisyah pura – pura marah. Idraki tidak membalas sebaliknya hanya tersenyum sambil menyebak rambut yang terjuntai di dahi ke belakang. Pandangan Puan Sri Aisyah kembali kepada Ayu yang masih malu – malu.
                “Tak apa, Ayu. Auntie Cuma nak kenal dengan Ayu. Bila auntie cakap ada tamu nak datang rumah ni, terus dia cakap nak bawa Ayu sekali ke rumah. Jom, auntie kenalkan dengan ayah dan adik – adik Id.” Puan Sri Aisyah menarik perlahan tangan Ayu. Teragak – agak Ayu mengikut wanita itu. sesekali, dia menoleh ke belakang, memandang Idraki dan cuba mendapatkan penjelasan. Idraki pula hanya tersenyum sambil matanya mengisyaratkan agar Ayu mengikut sahaja kehendak ibunya.
                “Kenalkan, ini ayah Id. Uncle Khalid. Ini semua adik – adik Id. Idzhar, Idzham, Shahila dan Shahima.” Puan Sri Aisyah memperkenalkan semua ahli keluarganya. Ayu senyum paksa dan bersalaman dengan kedua adik perempuan Idraki. Yang lelaki, dia hanya tunduk tanda hormat. Kemudian, Puan Sri Aisyah memperkenalkan pula dia dengan tetamu yang disebutnya sebentar tadi. Terkesan juga Ayu bila tetamu yang dikenalkan kepadanya tidak mempamer wajah gembira seperti ahli keluarga Idraki. Walaupun, hati was – was, namun Ayu tetap mengorak senyum. Wajah gadis yang diperkenalkan sebagai Ayra Nampak begitu masam ketika Idraki datang dan mengambil duduk bersebelahan dengan Ayu. Perbualan santai mereka semua membuat Ayu semakin janggal. Dia yang sememangnya agak pendiam jika baru berkenalan mula tidak senang duduk. Sesekali, dia memandang Idraki yang juga rancak berbual.
                “Semua duduk dulu ye, saya pergi tengok bibik kat dapur tu. Dah siap ke belum.” Puan Sri Aisyah meminta diri. Ayu terasa lapang dada. Sejak tadi, dia sememangnya cuba untuk lari dari berada dikalangan mereka. Melihat dari cara dan mendengar percakapan mereka, dia tahu semua yang ada disitu memang orang – orang berada. Tanpa sedar, dia berdiri untuk mengikut Puan Sri Aisyah. Namun belumpun melangkah, Idraki sudah memegang tangannya.
                “Nak kemana?” Tanya Idraki perlahan.
                “Tolong auntie di dapur.” Jawab Ayu yakin. Tetapi, Idraki ketawa kecil. Lucu bila mendengar kata – kata Ayu.
                “Tak perlu. Bibik ada buat semua. Mama nak tengok aje dah siap ke belum. Duduk aje.” Balas Idraki. Dia menarik tangan Ayu supaya duduk semula. Walau sedar semua mata memandang perlakuannya tetapi dia tidak peduli. Dia tidak mahu Ayu pergi kemana – mana. Dia hanya mahu Ayu duduk menemaninya disisi.
                “Err… tapi…”
                “Ehem! Id…” Suara garau Tan Sri Khalid buat keduanya serentak berpaling. Melihat sorotan mata Tan Sri Khalid di jarinya yang erat memegang tangan Ayu, Idraki tersenyum kelat. Perlahan dilepaskan tangan Ayu.
                “Duduk…” Arah Idraki. Ayu menurut dalam paksa. Terpaksalah dia menghadapi semua yang ada disitu. Yang paling dia resah bila mata tajam Ayra asyik merenungnya penuh syak wasangka.
                “Kak Ayu kerja kat mana?” Intan Shahila yang sedar dengan kejanggalan Ayu mengambil langkah untuk berbual dengan gadis itu. Intan Shahima turut sama menempek disebelahnya. Semakin serba salah Ayu dibuatnya. Perlukah dia berbaik dengan ahli keluarga Idraki ini? Dipandangnya Idraki namun lelaki itu sudah leka berbual hal lelaki dengan mereka yang lain.
                “Di Chanteque Landskap & Designs. Kerja sementara aje.”
                “Oh… Sebagai apa?”
                “Secretary. Saya nak panggil apa ye?” Ayu cuba menghidupkan suasana walau masih terasa janggal. Melihat kemesraan yang dipamer kedua beradik itu, dia mula selesa.
                “Panggil aje Ila. Ini, Ima. Tapi jangan nak saya – saya. Kita orang muda lagi tau.” Shahila mula rancak bercerita. Shahima pula mengangguk untuk mengiyakan kata – kata Shahila. Ayu mengukir senyum, petah betul kedua beradik ini bercerita.
                “Akak okey je kalau nak panggil nama. Akak pun muda lagi. Err… tapi, muka sama je, macam mana akak nak bezakan kau orang berdua?” Tanya Ayu, blur. Ketawa kedua kembar itu. memang itulah masalah utama mereka, orang lain tidak mudah untuk membezakan mereka berdua. Begitu juga dengan Idzhar dan Idzham yang memang serupa habis.
                “Kita orang kembar seiraslah, kak. Memang orang susah nak kenal mana satu Ila, mana Ima. Senang je, akak tengok ni.” Shahima memjawab lalu jarinya ditunjukkan pada keningnya. Betul – betul diatas bulu keniing itu terdapat tahi lalat bersaiz kecil. Hampir tidak Nampak dek kerana bulu kening itu yang hitam pekat.
                “Ima ada tahi lalat kat sini. Kak Ila tak ada. Kalau abang Idzhar dan Idzham plak, seorang becok macam mak nenek, seorang plak pendiam sangat. Tu, yang pegang Tab, abang Idzhar. Kalau akak Nampak yang asyik kelek Tab tu, abang Idzhar lah tu.” Panjang lebar Shahima bercerita. Mata Ayu turut menyorot kearah yang dirunjuk Shahima. Memang disitu, seorang lelaki sedang leka dengan Samsung Galaxy Tab. Tidak mempedulikan orang sekeliling yang sedang bercerita. Kemudian pandangannya beralih pula pada seorang lagi tidak jauh dari lelaki yang dikenalkan oleh Shahima tadi. Saling tak tumpah, tiada perbezaan langsung. Berkerut dahinya memerhati kedua lelaki seiras itu.
                “Dia orang kembar jugak ke?” Tanya Ayu. Ok, soalan bodoh. Sudah terang – terangan mereka berdua seiras, tentu sahaja mereka itu kembar. Ayu hampir menepuk dahinya sendiri dengan soalan itu. Kedua gadis dihadapannya yang mengangguk serentak pula membuat Ayu terlopong. Ada berapa adik beradik kembar dalam keluarga Idraki ini?
                “Ada berapa orang kembar dalam family kau orang ni?” Soalan itu membuatkan Shahila dan Shahima ketawa mengekek. Agak lucu dengan pertanyaan Ayu. Takkan pula Idraki tidak pernah beritahu tentang keluarga mereka.
                “Dua. Kami dan abang Idzhar dan Idzham. Along tak bagitau akak ke?” Shahila mengangkat dua jari.
                “Along? Ha… Err… Ada, ada. Akak lupa kot.” Ayu tersengih. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Adik – adik Idraki ini ingat dia kekasih along mereka, kah? Reaksi itu mengundang tawa lagi di bibir dua beradik kembar itu. Gadis yang baru dikenalkan oleh Idraki kepada keluarga mereka Nampak lebih mudah mesra. Berbanding Ayra yang mudah mesra tetapi banyak mengikut kata hati sendiri.
                “Akak lupa ke segan nak cerita dengan kita orang? Macam mana akak kenal dengan Along ye?” Shahila mula merisik. Dia mengerling Shahima yang sudah tersenyum simpul. Menanti jawapan dari Ayu. Cuba bersabar bila Ayu hanya diam sambil mata membulat mendengar soalan dari adik – adik Idraki itu.
                “Soalan apa tu?” Akhirnya Ayu bertanya soalan juga sebagai jawapan kepada soalan Shahila. Semakin bulat matanya bila kedua beradik itu ketawa lepas. Ceria sungguh dua beradik ini. Rasanya dia tidak mengatakan sesuatu yang lucu, kenapa kerap benar kedua beradik ini ketawa?
                Satu deheman kecil menghentikan ketawa lepas Shahila dan Shahima. Serentak mereka bertiga menoleh kepada suara itu. Entah kenapa, Ayu menarik nafas lega bila Idraki berdiri dihadapannya dengan lagak macho. Kedua tangannya diseluk kedalam poket seluar jeans bernada lusuh. Amat indah pandangan itu sehingga Ayu terpukau seketika. Tatkala pandangan mata Idraki bertaut dengan pandangannya, Ayu melarikan pandangan. Resah gelisah jadinya dia dengan renungan tajam itu.
                “Kau orang berdua buli Kak Ayu ke?” Idraki bertanya kepada Shahila dan Shahima sambil matanya tajam merenung kedua beradik itu. Dia menahan senyum yang mahu menguntum dibibir dengan aksi malu – malu kucing Ayu sebentar tadi.
                “Mana ada! Kita orang Cuma interview je. Nanti dah jadi kak long senang. Boleh jadi geng. Kan, dik.” Shahila pantas menjawab. Sebagaimana biasa, dia pantas mendapatkan sokongan dari kembarnya. Shahima pula pantas menganggukkan kepala. Bulat mata Ayu mendengar bicara lancar Shahila. Bila masa pula dia akan menjadi kakak ipar kepada dua beradik ini?
                “Mulut kau orang berdua ni… lancar aje, kan. Along cili baru tahu. Tak reti ke nak pergi tolong mama kat dapur tu?” Idraki bercekak pinggang pula. Pura – pura marah dengan tingkah kembar itu. Namun, dia senang melihat Ayu yang mula mesra dengan adik – adiknya. Shahila dan Shahima serentak mencebik. Itu mesti taktik nak berduaan dengan Ayu.
                “Mama kata tak payah tolong. Mama suruh kita orang temankan Kak Ayu, lah. Nak harap Along? Bila jumpa ayah dengan uncle Razif, memang lupalah benda lain.” Shahima menjawab. Ayu ketawa kecil melihat pertelingkahan dua beradik itu. Walaupun sedang bertikam lidah namun jelas kemesraan yang terpapar dari wajah mereka bertiga.
                “Alasan! Kau orang berdua memang pemalas. Nak tolong mama pun tak mahu. Guna Kak Ayu sebagai alasan ye?” Marah Idraki sambil dia melabuh duduk di sebelah Ayu. Pandangannya tajam pada kedua adik perempuannya. Marah, namun dia sebenarnya hanya bergurau. Melihat Shahila dan Shahima bermasam muka, dia rasa gembira.
                “Eleh… dia yang sebenarnya nak dating dengan Kak Ayu, nak salahkan orang pulak.”
                “Entah… kat rumah pun nak dating. Tunggulah kahwin dulu kalau nak lovey dovey pun kat rumah ni.” Lancar Shahila dan Shahima menjawab kata – kata Idraki. Ayu yang senyap dari tadi semakin tidak percaya dengan bicara itu. Adakah Idraki mencanangkan yang dia adalah kekasih lelaki itu dan bakal berkahwin?
                “Eh, budak dua orang ni! Pandai betul kau orang, kan. Esok Along dah kahwin, tahulah kau orang. Tak ada masa kau orang nak manja – manja dengan Along. Along layan Kak Ayu je.” Balas Idraki, tidak mahu kalah dengan adik – adiknya itu. Tercekik Ayu mendengar bicara itu. Bila masa dia cakap nak kahwin dengan Idraki?
                “Idraki!” Marah Ayu, hampir menjerit. Idraki hanya merenung dia dengan senyuman menggodanya.
                “Betullah. Jangan layan sangat budak – budak bertuah ni. Nanti dia pijak kepala.” Masih dalam mood bergurau, Idraki mengusik Ayu pula. Pipi gebu yang mula kemerah – merahan itu menarik minatnya. Entah marah atau malu, Ayu semakin menarik begitu pada pandangannya. Shahila dan Shahima pula ketawa melihat adegan abang dan bakal kakak iparnya mereka. Sungguh berbeza antara Ayu dan Ayra.
                “Padan muka Along. Belum apa – apa Kak Ayu dah back up kita orang.” Ejek Shahima sambil dia menaikkan ibu jarinya isyarat bagus. Geram dengan usikan Shahima, Idraki memukul kepala adiknya dengan kusyen kecil. Terjerit Ayu melihat tindakan Idraki itu namun kemudian bila Idraki dan adik – adiknya ketawa, Ayu turut ketawa kecil. Suasana yang dia tidak pernah rasa ketika ibu bapanya masih ada. Hingga kini, walaupun dia rapat dengan anak – anak Encik Saiful, namun mustahil untuk dia bergurau sebegitu dengan mereka kerana batasan mahram antara mereka.
                “Seronoknya berbual. Boleh mama tahu apa ceritanya yang seronok sangat tu?” Puan Sri Aisyah menyampuk tiba – tiba. Dia melabuh punggung di sofa berhadapan dengan Ayu dan ketiga anaknya. Kembang hatinya melihat Idraki yang gembira di samping Ayu. Sejak putus cinta dengan Ayra, baru kali inilah dia Nampak wajah gembira Idraki. Namun, terkesan juga dia dengan tingkah Idraki yang tidak mempedulikan langsung kehadiran Ayra di ruma mereka itu. Walaupun dia faham keadaan Idraki, tetapi rasanya tidak wajar anak sulungnya itu membiarkan sahaja Ayra seolah – olah gadis itu tidak wujud di rumah ini.
                “Along ni, nak kenakan kami. Tapi Kak Ayu back up kita orang. Padan muka!.” Shahima pantas menjawab. Dia menjelir lidah pada Idraki yang sudah membuntang mata. Hai lah Ima, tak agak – agak kau nak bercerita dengan mama, marah hati Idraki. Namun, tiada marah yang bergayut di hati, hanya rasa senang melihatkan keadaan Ayu yang senang mesra dengan keluarganya.
                “Ha… Eloklah buat kelakuan tak senonoh kamu semua depan Ayu. Maaf ye Ayu, anak – anak mama ni memang macam ni kalau dah berjumpa. Asyik nak bertekak. Idraki ni pulak, kalau tak mengusik adik – adik, memang tak aman hidup dia.” Puan Sri Aisyah segera meminta maaf. Malu pada Ayu tentang perangai anak – anak yang bermacam ragam.
                “Tak apa, auntie. Saya seronok tengok. Saya tak berpeluang pun nak usik – usik, gurau gurau macam ni.” Lancar Ayu menjawab tanpa dia sedar yang Idraki jadi cukup berminat dengan kata – katanya. Matanya tajam merenung Ayu, inginkan penjelasan namun dia menahan hati yang meronta ingin tahu. Tidak mahu mama dan adik – adiknya tahu yang dia sebenarnya tidak kenal Ayu selain dari gadis yang sudah dia cemari maruahnya.
                “Kenapa? Ayu tak ada adik beradik?”
                “Err…. Maaf. Tak patut saya cakap macam tu tadi. Maafkan saya, auntie.” Tidak mahu bercerita lebih lanjut tentang dirinya, Ayu segera meminta maaf. Apa lagi Idraki ada disebelahnya dengan renungan yang macam nak makan orang.
                “Eh, nak minta maaf kenapa pula? Mama suka nak kenal Ayu lebih lagi. Kalau tak keberatan, Ayu boleh cerita lebih lagi. Lagipun, tak lama lagi Ayu nak jadi menantu rumah ni jugak.” Kata – kata Puan Sri Aisyah buat Ayu telan air liur. Kelat dan kesat. Apa maksud kata – kata itu tadi? Dia tersalah dengar atau mama Idraki yang tersalah anggap?
                “Amboi mama… Tak sabar – sabar nampaknya ye. Dah siap panggil mama. Tak menyempat nak tahu pasal Kak Ayu ni.” Shahila menyampuk. Tidak disangka, senang sekali Puan Sri Aisyah menerima teman baru abang sulungnya itu. Tapi, mama memang senang mesra dengan sesiapa pun. Apa lagi yang berpotensi jadi menantunya. Dengan Ayra juga dulu begitu. Baru kenal, sudah bahasakan diri mama. Kini, bila Idraki bawa Ayu pula, Puan Sri Aisyah turut guna ganti nama yang serupa.
                “Iyelah, mama memang teringin benar nak tengok Along kamu naik pelamin. Lepas tu timang cucu. Along kamu bukan makin muda, makin hari makin tua.” Jawab Puan Sri Aisyah buat Ayu spontan mengalih pandangan pada Idraki yang ketika itu turut memandangnya. Mereka berlawan pandang seketika sebelum Ayu menundukkan muka. Pandangan tajam itu tak bisa dibalasnya.
                “Mama…. You’ve made her shy. She’s blushing.” Bisik Idraki. Puan Sri Aisyah melirik ke arah Ayu. Gadis itu tertunduk malu. Puan Sri Aisyah mengukir senyum. Sejuk mata melihat tingkah Ayu.
                “Jangan nak malu – malu, Ayu. Semua orang akan kahwin, lepas tu dapat anak. Cuma cepat dengan lambat je. Cuma, dalam kes kamu berdua ni, mama harap cepatlah. Tak kuasa dah nak tengok anak mama ni duk tenung kamu dari tadi. Tak sabar benar nampaknya dah tu.” Usik Puan Sri Aisyah. Sekali lagi Idraki terjerit memanggil mamanya.
                Perbualan mereka terganggu ketika Bibik Suti datang dan memanggil mereka makan. Ayu yang rasa terseksa jiwa dengan usikan demi usikan dari keluarga Idraki menarik nafas lega. Perlahan dia menurut langkah Idraki walau dia sedar sejak dari tadi ada mata yang memandang tidak puas hati dengan kemesraan mereka.