Saturday, 24 December 2011

Kerana Kamu 5

5.
                Pandangannya ditebar ke seluruh ruang bilik. Bersih dan kemas. Dhamirah tersenyum senang. Bersusah payah dia mengemas bilik itu sepanjang pagi. Akhirnya, setelah hampir satu pagi dihabiskan, bilik itu terasa nyaman dan wangi sekali. Sekali lagi bibirnya menguntum senyum, bangga dan senang hati bila kerjanya sudah selesai.
                “Ni kalau singa jantan tu nak memekik lagi, aku tak tahulah.” Kata Dhamirah kepada dirinya sendiri. Pagi tadi, sebelum Haris, yang digelarnya singa jantan keluar bekerja, lelaki itu sudah berpesan supaya dia mengemas dan mencuci bilik tidur mereka hingga bersih berkilat. Berkerut juga dahi Dhamirah bila mendengar arahan itu sedangkan sejak masuk ke bilik ini tiga hari lalu, dia tidak Nampak sebarang kekotoran pada bilik itu. Elok bersih dan semua perabot dan perhiasan tersusun cantik. Mak Ton, pembantu di rumah agam ini juga setiap hari masuk untuk membersihkan bilik. Pendek kata, tiada apa sebenarnya yang ingin dikemaskan. Tetapi mungkin lelaki merangkap suaminya itu sengaja ingin mengenakannya. Sejak dia di bawa ke rumah agam ini, pelbagai arahan yang dikeluarkan oleh Haris. Jika dia cuba membantah, mulalah memekik memarahinya pula. Sebab itu, bila Haris mengarah dia membersihkan bilik pagi tadi, dia Cuma mengangguk perlahan.
                “Lepas ni Mak Ton tak perlu kemaskan bilik Haris. Biar perempuan ni kemaskan.” Masih terngiang – ngiang kata – kata pedas Haris ketika mereka duduk bersarapan bersama. Itu pun, jenuh Mak Ton memanggil Dhamirah setelah dia asyik berkurung di dalam bilik. Niatnya ingin menunggu semua orang di dalam rumah itu sudah selesai bersarapan, baru dia mengambil sarapan pula dengan ditemani Mak Ton. Tetapi, menurut Mak Ton, Datuk Hamdi yang bertegas ingin dia menyertai mereka.
                “Tapi, Haris. Itu kan kerja Mak Ton.” Balas Mak Ton setelah dia melihat wajah Dhamirah yang serba salah mendengar kata – kata Haris. Lagi pun, dia sudah biasa melakukan kerja – kerja di rumah itu. Bila kerja dikurangkan, dia rasa janggal pula.
                “Mak Ton buat kerja lain aje. Rumah ni masih besar lagi nak dikemaskan. Bilik Haris, biar dia kemaskan. Dia dah jadi isteri, patut tahu apa dia kena buat. Ingat boleh jadi mem besar kat rumah ni?” Panjang Haris bersyarah, sambil itu sempat dia menjeling Dhamirah di sisinya. Datuk Hamdi dan Datin Marina ketika itu sudah selesai bersarapan dan naik ke tingkat atas untuk Datuk Hamdi bersiap ke pejabat pula. Melihat Dhamirah berwajah kelat di sisinya, dia rasa puas.
                “Er… Tapi… Tapi…” Mak Ton garu kepala. Dia memandang Dhamirah yang senyap sunyi. Rasa kasihan pula gadis itu yang dipaksa mengemas bilik.
                “Tak ada tapi, tapi, Mak Ton. Mulai hari ni, saya nak dia kemaskan bilik saya. Mak Ton jangan usik lagi bilik tu.” Arah Haris semakin tegas.
                “Er… Er..”
                “Tak apa, Mak Ton. Nanti Mira kemaskan bilik. Mak Ton tak payah kemas lagi. Biar Mira buat.” Dhamirah memotong kata – kata Mak Ton yang kelihatan serba salah. Alah, kalau Haris tak arahkan pun, dia tetap akan buat juga. Sekurang – kurangnya ada aktiviti yang boleh dia lakukan di rumah ini sementara menanti semester baru di buka semula lebih kurang seminggu lagi.
                “Bukan aje kemaskan bilik tu. Pastikan tak ada sebarang habuk pun dalam bilik tu. Kalau aku balik, bilik tu kotor, siap kau.” Gertak Haris lalu dia bangun dari tempatnya. Segera mengambil kot yang tersedia di sofa di ruang tamu dan melangkah ke pintu. Ingin segera ke pejabat. Berlama – lamaan bersama dengan Dhamirah membuat dia rimas.
                Dan ketika ini, dia kini sedang memerhati sekitar ruang bilik besar itu dengan rasa puas. Cadar katil sudah di tukar, lantai sudah di sapu malah sudah di mop. Tingkap bilik sudah dibersihkan. Semua permukaan juga sudah dilap dan dikemaskan.
                “Mira… Boleh Mak Ton masuk?” kedengaran suara Mak Ton diiringi ketukan di pintu yang sedikit tertutup.
                “Masuklah, Mak Ton.” Pelawa Dhamirah dengan senyuman di bibir. Matanya hanya menyoroti langkah Mak Ton dengan seberkas kain yang sudah berlipat di tangannya. Melihat Mak Ton yang terkial – kial, segera dia mengambil kain yang tersusun tinggi.
                “Mak Ton hantar baju – baju Haris yang dah berlipat ni. Lambat sikit sebab Datin suruh tolong dia di tamannya tu tadi.” Mak Ton menerangkan tanpa perlu diminta. Dia memerhati Dhamirah yang menyusun baju – baju di atas katil.
                “Kenapa susah – susah ni, Mak Ton. Cakap aje pada Mira tadi, Mira boleh ambil sendiri. Ni dah susahkan Mak Ton kena naik turun hantar baju pulak. Dahlah banyak kerja kat bawah tu.” Dhamirah mendekati Mak Ton dan memegang lengan tua itu lalu dipimpinnya ke sofa di sudut bilik. Mengajak wanita di awal usia 50-an itu duduk dan bersembang.
                “Dah kerja Mak Ton, Mira. Kenalah buat. Kerja banyak pun, kena buat jugak. Tak ada lah Mak Ton makan gaji buta. Tak berkat duit tu nanti.” Balas Mak Ton perlahan. Dia menolak bila Dhamirah mempelawanya duduk disisinya. Teringat yang dia masih ada kerja di tingkat bawah. Tambahan pula, sebentar lagi dia kena mula memasak untuk makan tengahari.
                “Erm… Tapi Mira kan ada. Mira boleh tolong Mak Ton buat kerja – kerja ni semua. Apa lagi yang abang Haris punya. Tak elok pulak biarkan Mak Ton uruskan semua pasal Abang Haris padahal Mira goyang kaki je.” Dhamirah menjawab manja. Sedar akan tanggungjawabnya sebagai isteri. Menyiapkan semua keperluan suami walaupun dia bukan isteri pilihan suaminya itu.
                Mak Ton mengukir senyum mendengar kata – kata Dhamirah. Sejak mengenali gadis ini, memang dia tahu Dhamirah sentiasa cuba untuk menyenangkan hati orang lain. Pandai mengambil hati dengan kata – kata dan sifat manjanya yang semulajadi. Rambut Dhamirah yang panjang mengurai di usap lembut.
                “Itu dah kerja Mak Ton. Mira tak usah susah – susah. Kerja Mira Cuma layan suami tu aje. Semoga dengan layanan Mira tu, hatinya lembut. Biar dia sayang Mira seorang sahaja sebagai isteri dia.” Mak Ton memberi nasihat. Tahu rasa hati Dhamirah walau gadis itu bermanis muka dan mempamer wajah gembira pada setiap orang. Dhamirah mencebik bila mendengar kata – kata Mak Ton. Haris tak mungkin akan menyayanginya. Perkahwinan ini hanya untuk menutup malu atas onar Dania. Dia pasti, Haris akan melepaskannya bila cerita pengantin perempuan bertukar senyap di bawa masa.
                “Sudahlah tu. Mak Ton tolong Mira kemas baju – baju ni. Lepas ni, Mak Ton nak masak pula. Selalunya Datuk balik makan tengahari kat rumah.” Mak Ton mengubah topic cerita bila kata – katanya tidak mendapat respon dari Dhamirah. Mungkin gadis itu tidak suka membicarakan tentang perkahwinannya dengan Haris ketika ini.
                “Eh, tak apalah, Mak Ton. Mak Ton pergilah masak. Mira boleh buat semua ni. Nanti dah siap, Mira tolong Mak Ton pula ye.” Dhamirah menghalang Mak Ton dari menolongnya. Dia tidak mahu menyusahkan Mak Ton walaupun tahu sebelum ini, semua itu sudah biasa dilakukan oleh wanita itu. Dia mengerling jam di dinding sekilas, sudah jam 11.30 pagi.
                “Iyelah, kalau dah Mira cakap macam tu. Tapi tak payahlah tolong Mak Ton. Mira dah penat kemas bilik ni tadi. Rehat aje. Nanti bila dah sampai masa makan, Mak Ton panggil Mira ye.” Mak Ton beredar, meninggalkan Dhamirah yang memerhati langkahnya. Sebelum dia bergegas memasukkan baju – baju Haris ke dalam almari besar yang dibina khas.
                “Kak Mira!” Hampir terlepas baju di tangan Dhamirah bila terdengar jeritan itu dekat di telinganya. Dia menoleh ke arah suara itu dan menjeling geram bila dilihatnya Jasmeen ketawa mengekek melihat aksinya tadi.
                “Meen… Apa jerit – jerit kat telinga ni? Pekaklah aku macam ni.” Dhamirah mengomel. Kerjanya diteruskan dan membiarkan Jasmeen melabuh punggung di katil king size yang terletak di tengah bilik.
                “Cantik berseri – seri bilik pengantin akak ni.” Jasmeen menggiat. Dia tahu tentang arahan abangnya pagi tadi. Dia ketawa bila melihat Dhamirah mencebik bibir, tentu terasa dengan kata – katanya sebentar tadi.
                “Perlilah tu. Sakit sakit badan aku mengemas bilik abang kau ni.”
                “Alah… Apa susah. Nanti malam suruh abang Haris picit and urut akak, ye.” Usik Jasmeen tanpa jemu dan ketawa lagi bila Dhamirah buat wajah kelat.
                “Tak teringin. Eh, yang kau ni. Dari hari tu aku cakap jangan panggil akak. Macam tak biasa ber aku, kau. Tiba – tiba nak panggil akak ni, kenapa?” Dhamirah turut duduk di sisi Jasmeen. Paha gebu gadis itu ditepuk perlahan. Jasmeen hanya muda setahun dari dia. Sejak mereka kenal ketika pertama kali keluarga Haris bertandang ke rumah orang tua Dhamirah, mereka jadi rapat. Malah, Dhamirah melarang Jasmeen memanggilnya kakak kerana rasa begitu rapat dengan Jasmeen.
                “Dulu kawan, sekarang dah jadi kakak ipar, kenalah tukar panggilan. Okey apa panggil kakak. That’s shows I respect you as my sister-in-law.”
                “Merepek apa ntah. Sama aje, Meen. Respect letak kat sini, bukan kat panggilan. Dah, aku tak nak dengar kau panggil aku kakak lagi. Tua sangat dah rasanya.” Dhamirah membalas sambil tangannya diletakkan di dada, tanda di mana rasa hormat itu datang. Jasmeen ketawa lagi, bersama Dhamirah, memang dia selalu terhibur. Temannya itu pandai buat orang senang. Entah kenapa Haris tidak Nampak semua itu.
                “Bukan ke kau memang dah tua? Dah kahwin, dah tua lah tu.” Jasmeen belum jemu mengusik. Melihat Dhamirah mencebik bibir bagai satu hiburan padanya. Comel wajah itu bila buat aksi mencebik bibir.
                “Malas nak layan fiil terencat kau ni. Ada apa ni?” Dhamirah bangun. Dia ke meja solek lalu rambutnya yang dibiar lepas di ikat tinggi. Rimas pula dengan rambut lepas begitu. Rasa dirinya tidak terurus.
                “Amboi… Melawat kakak ipar sendiri pun, tak boleh ke?”
                “Erk… Jumpa hari hari pun, kau nak melawat aku lagi? Ada apa ni, Meen?”
                Jasmeen pamer sengih. Dia tahu Dhamirah tahu dia ada agenda tersembunyi. Dhamirah angkat kening sebelah, bertanya melalui mimic muka rasanya cukup untuk buat Jasmeen faham.
                “Petang ni kita pergi shopping, nak? Semester nak buka minggu depan. Aku tak prepare apa – apa lagi ni.” Jasmeen membuka mulut. Bosan terperuk di rumah. Datin Marina pula, sejak Dhamirah pindah masuk ke rumah ini, moodnya sentiasa sahaja tidak baik. Jasmeen sendiri tidak faham kenapa mummynya itu boleh berubah sikap terhadap Dhamirah sekelip mata. Walhal dahulu, hubungan Datin Marina dengan Dhamirah agak rapat juga.
                “Nak prepare apa lagi, Meen? Nak beli uniform ke?” perli Dhamirah. Bukan dia tidak tahu kegilaan Jasmeen itu. Suka sangat shopping menghabiskan duit membeli pakaian, kasut dan beg. Bukan murah harga pada setiap barangan yang dibeli Jasmeen. Pendek kata, kalau barangan itu tidak berharga melebihi ratusan ringgit, pasti Jasmeen tidak akan pandang.
                “Perli ye? Aku bosanlah duduk rumah ni, Mira. At least, kalau kita pergi shopping, boleh jugak release tension. Kau tak bosan ke duduk terperap je dalam rumah ni? Dengan Abang Haris macam tu?” Jasmeen memancing Dhamirah yang Nampak degil. Dia tahu sangat Dhamirah, kena cara pujuknya, mesti gadis itu akan setuju sahaja.
                Dhamirah menjeling geram. Bosan sungguh bila semua orang mengatakan tentang hubungannya dengan Haris. Dia sendiri tidak mahu sakitkan kepala dan sakitkan hati dengan memikirkan tentang Haris, kenapa orang lain perlu susah – susah?
                “Bosan ke tak, aku kena duduk sini jugak. Dah Abang Haris bawa aku ke sini, sinilah tempat aku. Aku tak de feel lah nak shopping ni, Meen. Next time?” Dhamirah memberi alasan. Sebenarnya, dia tidak mahu membelakangkan Haris. Dia sedar, Haris lah syurganya kini. Jika dia mahu ke mana – mana, perlu dapat keizinan Haris. Dan untuk meminta keizinan itu, Dhamirah tidak sanggup mendengar suara petir Haris. Lebih baik dia memerap di rumah. Menolong Mak Ton, cuba berbaik dengan ibu mertuanya sementara menunggu kepulangan Haris dari dia menghabiskan masa merambu dengan adik iparnya ini.
                “Alah… please…….. Aku bosan nak mati ni. Jomlah… Aku beritahu Abang Haris ye?” Jasmeen belum jemu memujuk. Mukanya beriak sedih, cuba memancing kasihan Dhamirah. Dhamirah mengeluh perlahan. Yang abang, garang mengalahkan singa, yang adik pula suka mendesak sampai orang serba salah. Dhamirah merungut, pening nak melayan kerenah adik beradik ini.
                “Nanti abang kau mengamuk, Meen. Next time aje ye… Banyak masa lagi kan. Aku ada aje kat rumah ni. Tak pun, kau try ajak mummy?” Dhamirah menolak lembut. Kali ini, dia tidak dapat memenuhi keinginan Jasmeen. Perit telinganya nanti mendengar Haris membebel dan memarahinya. Lebih baik dia tidak berbuat sesuatu yang tidak Haris gemari.
                “Hrmmm….. Kau ni takut sangatlah dengan Abang Haris. Dia bukan makan kau pun. Ajak mummy tak bestlah. Taste mummy tak sama dengan taste aku.” Rungut Jasmeen. Dari katil, dia beralih pula ke sofa di sudut bilik. Masih ingin mencuba untuk memujuk Dhamirah.
                “Whatever, Meen. Not this time, okey. Dah, aku nak turun ni. Nak tolong Mak Ton masak. Abang kau selalu balik lunch tak ni?” Dhamirah melangkah ke pintu. Tidak mahu lagi melayan kerenah Jasmeen, makin lama Jasmeen memujuknya nanti, takut dia termakan pujuk pula.
                Jasmeen mengangkat bahu, tanda tidak bahu. Dia sendiri jarang berada di rumah waktu tengahari. Biasanya waktu cuti semester begini, dia akan merambu dengan kawan – kawan hingga malam. Cuma hari ni saja, rancangannya untuk keluar dengan Dhamirah tidak Berjaya.
                “Merajuk ye? Alah…. Next time kita pergi ye. Aku betul betul tak de mood ni. Hari ni, kita sama – sama masak ye.” Dhamirah memeluk bahu Jasmeen. Cuba memujuk Jasmeen yang sudah berwajah mendung.
                “Kau nak masak, kau masaklah seorang. Aku nak cari member, nak keluar shopping.” Jasmeen tersenyum sambil dia mengangkat tangan dan menunjukkan isyarat ‘peace’. Dhamirah hanya menggeleng kepala, pening dengan Jasmeen yang masih ketara sikap keanak – anakkannya. Iyelah, anak bongsu, pasti manja terlebih. Eh, dia anak bongsu juga. Tapi, rasanya dia tidak semanja itu dengan mama dan papa. Mama, walaupun memanjakan dirinya tetapi masih ada batasannya. Ah, tiba – tiba teringatkan mama, hatinya menjadi rindu pada wanita itu.
                Asyik melayan perasaan, Dhamirah tidak sedar dia sudah sampai di dapur rumah agam itu. Dia menjenguk, mencari kelibat Mak Ton. Tiada di ruangan dapur kering itu. Dia mencari pula di ruang dapur basah. Di situ, terlihat Mak Ton sedang ligat bekerja di sinki, manakala Datin Marina berdiri sedikit jauh, mungkin menolong Mak Ton memasak. Rancak keduanya bercerita itu dan ini. Inilah yang dia kagum dengan Datin Marina. Wanita itu, walaupun berpangkat, namun masih mahu ke dapur, sama – sama memasak dengan pembantunya. Dhamirah teragak – agak untuk menghampiri mereka berdua. Takut mood baik Datin Marina bertukar sebaik ternampak dirinya. Ibu mertuanya itu sering sahaja berwajah kelat sejak kedatangan dia di rumah ini. Mungkin, Datin Marina masih tidak boleh terima dia sebagai menantu.
                “Ehem…” Dhamirah berdehem kecil. Walau takut dengan Datin Marina, tetapi dia harus mengambil peluang ini untuk berbaik dengan wanita itu. Dia tidak seharusnya membiarkan hubungan mereka berdua dingin begini berpanjangan.
                Serentak dua wanita itu menoleh. Berubah wajah Datin Marina sebaik terlihat wajah Dhamirah. Ada rasa marah yang masih belum surut. Di tambah lagi dengan kegagalan Dhamirah melembutkan Haris yang panas baran. Sentiasa marah dan memekik ketika mereka berdua bertemu.
                “Ada apa – apa yang Mira boleh tolong?” Meleret senyum Dhamirah. Cuba meredakan hati yang berdebar dengan wajah manis begitu. Makin bertambah rasa takut bila melihat wajah masam Datin Marina.
                “Lah…. Kan Mak Ton kata Mira tak usah tolong. Mira dah penat kemaskan bilik atas tu tadi. Rehat ajelah, nanti sampai masa makan, Mak Ton panggil.” Mak Ton menegah Dhamirah yang sudah mula bergerak ke sisi Datin Marina. Mengambil pisau dan berkira – kira ingin memotong sayur – sayuran.
                “Tak apa, Mak Ton. Tak penat mana pun kemas bilik. Mummy nak masak apa? Mira boleh tolong.” Dhamirah bertanya Datin Marina. Berharap wanita itu akan menjawabnya.
                “Patutnya kau tu sebagai menantu, kau yang masak. Ini tidak, aku pulak yang berpeluh – peluh kat dapur ni. Kau sedap – sedap kat dalam bilik.” Marah Datin Marina. Berubah wajah Dhamirah mendengar suara tegas itu. Selama dia di rumah ini, ini pertama kali Datin Marina berbahasa sekasar itu dengan dia.
                “Maaf, mummy. Tadi Mira kemaskan bilik Abang Haris. Tak sedar hari dah tengahari. Tak apa, mummy rehatlah, Mira boleh masak. Mummy nak makan apa?” Dhamirah masih mengukir senyum. Sedar dengan perasaan tersinggung Datin Marina yang masih belum terubat. Dia di pihak yang bersalah, harus sentiasa mengalah.
                “Hrmm… Baru hari ni nak Nampak muka kat dapur ni. Selama kau duduk sini, yang kau tau nak memerap aje dalam bilik. Macam mem besar pulak kat rumah ni.” Pedas sindiran Datin Marina menusuk ke hati Dhamirah bagai sembilu tajam. Dhamirah mengusik senyum lesu, wajah Mak Ton dipandang sekilas sebelum dia tunduk merenung lantai.
                “Mira minta maaf, mummy. Salah Mira. Mula hari ni, biar Mira yang masak. Mummy rehat aje. Mira boleh buat semua.”
                “Mak Ton buat semua ni. Saya nak naik bilik. Panas kat dapur ni.” Datin Marina memberi arahan. Pisau di tangannya di hempas kuat ke cabinet lalu dia beredar dari ruangan itu. Meninggalkan Dhamirah yang terkebil – kebil memandang langkah datin anggun itu.
                “Mira, sabarlah ye. Datin masih marah tu. Mira cuba pujuk dia perlahan – lahan ye.” Mak Ton menasihati. Bahu Dhamirah dipeluk erat, cuba memberi kekuatan pada gadis itu. Faham dengan perasaan Dhamirah. Dhamirah senyum kelat. Penolakan Datin Marina buat hatinya bertambah sedih. Hubungan yang rapat sedikit masa dahulu, hilang hanya dengan satu kesilapan.
                “Mira ok, Mak Ton. Jom, kita masak. Mak Ton nak masak hari ni?” Dhamirah menggenggam jari yang melekat di bahunya, memberi isyarat yang dia masih kuat menghadapi semuanya.
                “Datuk pesan nak makan masak lemak daging salai tadi. Mak Ton nak masak itu dengan sup sayur. Ikan cencaru bakar dengan air asam. Erm… Mira ada rasa nak makan apa – apa? Mak Ton boleh masakkan.” Panjang Mak Ton menerangkan sambil tangannya sudah lincah menyediakan segala keperluan untuk makan tengahari itu.
                “Sedapnya Mak Ton. Mira tak nak apa pun, cukuplah tu. Mira nak buat apa ni? Bakar ikan?” Dhamirah mencapai ikan cencaru yang sudah siap dibasuh lalu diletakkan dalam dulang untuk membakar. Namun kemudian, tangannya disentuh Mak Ton.
                “Tak usah, Mira. Kerja Mak Ton semua ni. Mira pergi rehat. Nanti kalau Haris balik, Mira tak sedar pulak. Tak bersambut pulak Haris tu nanti.” Mak Ton membebel. Mendengar Mak Ton menyebut nama Haris, Dhamirah mencebik bibir. Lelaki itu tidak pernah ingin kehadiran dia di sisi, jadi untuk apa kepulangannya di sambut.
                “Dia suami Mira. Walau apa pun sebab Mira dengan Haris berkahwin, tapi Mira tetap kena hormat dia sebagai suami.” Mak Ton sambung membebel. Dhamirah yang sudah duduk di meja makan berhampiran ruang itu, hanya buat tidak tahu. Bosan bila soal hubungannya dengan Haris diperkatakan.
                “Mira rasa dia tak kisah pun, Mak Ton. Tak ada Mira, lagi dia suka.”
                “Ada pulak cakap suami macam tu. Kalau dia tak suka, Mira kena buatlah sampai dia suka. Kenalah bagi layanan terbaik sampai dia rasa tak boleh hidup kalau Mira tak ada.” Kata – kata Mak Ton buat Dhamirah ketawa kecil. Haris tak boleh hidup kalau dia tiada disisi? Nampak sangat mustahil.
                “Pandai aje Mak Ton ni, kan. Boleh jadi kaunselor la. Macam Datuk Fadzillah Kamsah tu.” Dhamirah mengusik dalam sisa tawanya. Tidak mahu Mak Ton terus – terusan berbicara tentang Haris. Tepu otaknya bila memikirkan tentang suaminya itu.
                “Tengok tu, kita cakap yang betul, dia main – main pulak. Sudah, pergi naik atas. Kacau aje Mak Ton buat kerja.” Marah Mak Ton membuatkan tawa Dhamirah meletus lagi.
                “Mak Ton kata kena layan suami dengan baik. Ni, Mira nak belajar masak dengan Mak Ton untuk suami, Mak Ton tak bagi pulak.” Semakin galak Dhamirah mengusik. Dia memaut bahu Mak Ton dari belakang. Cuba bermanja dengan wanita separuh abad itu.
                “Ada je jawapan budak ni, kan. Ha, ambil ni. Buat perencah ikan bakar tu. Lepas tu lumur dekat ikan tu. Degil!.” Mak Ton sedikit tegas namun kemarahannya hanya disambut dengan tawa manja Dhamirah. Tanpa banyak soal, dia mula menjalankan tugas yang diarahkan Mak Ton. Hati yang gundah kembali tenang bila dapat berbual dengan Mak Ton.
                Kurang dari sejam, semua sajian sudah terhidang di meja makan. Hanya menanti kepulangan Datuk Hamdi dan Haris. Tetapi menurut Mak Ton, Haris jarang balik makan waktu tengahari, hanya Datuk Hamdi yang selalu balik. Haris Cuma akan balik bila tuntutan kerjanya tidak terlalu mendesak. Dan seperti dijangka, tengahari itu, hanya Datuk Hamdi yang muncul di muka pintu.

No comments:

Post a Comment