1.
Suasana di rumah semi-d dua tingkat itu sibuk tatkala Dhamirah melangkah keluar dari teksi. Khemah sudah sedia terpasang, beberapa buah meja sudah siap tersusun dengan alas berwarna merah bercampur putih. Cuma kerusi yang masih di susun bertingkat di tepi pintu pagar rumah, menunggu masa untuk di susun di meja bulat. Beberapa kanak – kanak yang riang berkejaran menandakan rumah itu sudah meriah dikunjungi tetamu.
Dhamirah tersenyum senang. Gembira bila memikirkan kakak yang paling disayanginya akan berkahwin esok. Gembira bila ada ahli keluarga baru walaupun….
“Mira!! Kenapa tercegat lagi kat luar tu? Kamu kira apa?” jeritan nyaring itu mematikan lamunan Dhamirah. Segera dia menoleh kea rah suara itu. Seorang wanita pertengahan 40-an berdiri bercekak pinggang memandang kearahnya garang. Senyuman di bibir Dhamirah semakin lebar. Tanpa menjawab soalan tadi, dia segera berlari mendapatkan wanita itu lalu memeluknya erat.
“Mama!” Jeritnya kuat. Pelukannya juga semakin dieratkan. Mengerti kemarahan wanita itu tidak kemana sebenarnya. Wajah yang semakin dim amah usia itu di cium sepuasnya buat melepas rindu.
“Amboi…. Pandai ambil hati mama ye? Dah balik lambat, tak tolong mama kat rumah ni… Bila balik nak peluk cium mama ye? Tak laku kat sini.” Bebel Puan Haryani namun dia turut sama memeluk dan mencium pipi gebu anak bongsunya itu. Mendengar bebelan itu, Dhamirah ketawa lepas. Mamanya memang kuat membebel. Kadang kala hingga sakit telinga, namun bebelan itulah yang dia rindui ketika di kampus.
“Alah… mama ni, kan Mira dah cakap, Mira sibuk dengan final year project. Kalau boleh memang Mira nak balik awal tapi projek Mira ada problem. Sorry mama…” Dhamirah mempamer sengih. Senyum manja yang sering mengundang senyum di bibir Puan Haryani. Habis berterbangan rasa marah yang juga sengaja dibuat – buat.
“Pandai menjawab!” Marah Puan Haryani lagi lalu mencubit hidung Dhamirah. Gadis itu ketawa lagi. Bahagia dilayan begitu oleh mamanya. Beg di tangan Dhamirah di capai lantas dia membimbing anak gadisnya itu masuk ke dalam rumah.
“Ni Mira dah balik, mama boleh suruh Mira buat apa aje. Ganti balik apa yang mama nak Mira buat sebelum ni.” Dhamirah memujuk Puan Haryani sambil kepalanya dilentukkan manja pada bahu mamanya. Begnya dicapai semula dari tangan Puan Haryani. Tidak mahu menyusahkan wanita yang terlalu banyak jasa pada dirinya.
“Betul?”
“Betul… Promise..” Dhamirah mengangkat jarinya, tanda berjanji dengan kata – katanya sebentar tadi.
“Okey, mama nak..”
“Mira… Baru sampai?” pertanyaan dari suara garau itu mematikan perbualan mesra dua beranak. Dhamirah segera berpaling lalu bibirnya mengorak senyum gembira. Dia segera menghulur tangan untuk bersalaman lantas mencium tangan tua itu penuh hormat dan kasih sayang.
“Ye, pa. Lambat sikit, susah nak dapat teksi tadi.” Jelas Dhamirah. Dia membiarkan bibir tua papanya mencium dahinya. Satu perbuatan wajib setiap kali mereka bertemu.
“Hrmm…. Mama bisingkan apa tu?” Encik Mazlan mengerling isterinya yang sudah memuncungkan mulut. Dia tahu isterinya itu sudah merajuk bila dia menyampuk perbualan mereka berdua tadi. Dhamirah ketawa melihat aksi mama dan kerlingan papanya. Jelas terpapar kebahagian mereka di usia begini.
“Mama nak denda Mira sebab balik lewat sangat.” Balas Dhamirah manja. Tangannya yang tadi memeluk bahu Puan Haryani kini berpindah merangkul tangan kekar milik Encik Mazlan. Melihat perilaku Dhamirah, Puan Haryani membuntangkan mata.
“Amboi… tadi bukan main berjanji dengan mama. Sekarang nak mintak tolong dengan papa pulak ye?” Marah Puan Haryani. Sedia maklum dengan kerenah suaminya yang sering memenangkan Dhamirah setiap kali mereka berguarau. Dhamirah tersengih lagi sambil Encik Mazlan tergelak besar.
“Sudahlah, Yani. Apa yang awak nak suruh Mira buat? Semuanya dah siap ni. Awak jugak yang beriya nak upah perunding. Sekarang nak suruh Mira buat itu ini pulak ke?” Encik Mazlan mengusik lagi.
“Dia yang janji nak buat apa aje…” Puan Haryani mencebik. Sedikit marah bila Encik Mazlan mengungkit tentang hari perkahwinan anak sulung mereka. Melihat mamanya sudah merajuk, Dhamirah kembali memaut bahu Puan Haryani.
“Okey, mama…. Mira buat apa aje yang mama suruh. Mama nak Mira buat apa?”
“Buatkan mama Nescafe. Mama rindu nak minum air buatan Mira tu. Takde orang boleh lawan.” Sempat Puan Haryani mencubit pipi Dhamirah lantas ketawa bila eksperesi wajah Dhamirah nyata terkejut. Sengaja dia mengusik anak manjanya itu, namun air Nescafe buatan Dhamirah memang tiada tandingan buatnya.
“Ha, elok tu. Papa pun dah rindu nak minum air Nescafe buatan Mira. Buat lebih sikit ye. Tu untuk keluarga Pak Long jugak.” Encik Mazlan menyampuk pula. Teringat keenakan air Nescafe dari tangan Dhamirah. Memang cukup serba serbi, tidak terlalu manis, tidak terlalu pekat nescafenya. Pokoknya, memang sedap..
“Aik.. Tadi menangkan anak. Sekarang ikut sama denda Mira ke?” Puan Haryani memulangkan paku buah keras. Encik Mazlan tersenyum sahaja lalu melangkah ke ruang depan rumah dimana Pak Long Dhamirah dan sepupunya sedang duduk berkumpul. Mungkin sedang melepaskan lelah dari mengerjakan kerja kahwin sebentar tadi. Sempat juga Encik Mazlan mengingatkan Dhamirah agar membawa air ke ruang depan tempat mereka berkumpul.
“Dah… Pergi buat air yang papa mintak tu. Beg ni biar mama bawa ke bilik Mira. Lambat nanti, mengamuk pula papa Mira tu.” Puan Haryani mengarah lembut. Beg besar Dhamirah di capai namun gadis itu tidak melepaskannya.
“Taka pa. Mama pergilah join papa dengan pak long. Biar Mira hantar, nanti baru Mira buat air ye.” Dhamirah segera mengorak langkah mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas. Segera ingin lari dari Puan Haryani kerana sedar jika dia berlamaan di situ, pasti Puan Haryani bertegas ingin menghantar begnya.
Selesai meletakkan beg di biliknya, Dhamirah segera turun semula. Ketika melintasi bilik pengantin, dia teruja untuk memasuki bilik itu dan menemui Dania. Rindu pada satu – satunya kakak yang dia ada. Namun memikirkan janjinya pada mama dan papanya, Dhamirah menangguhkan niatnya, apatah lagi bila melihat bilik pengantin itu tertutup rapat. Dia berlari anak menuruni anak tangga dan menuju dapur. Lincah tangannya membancuh seteko air Nescafe seperti permintaan mama dan papa. Usai kerjanya, segera dia menatang air dan cawan ke ruang depan di mana mama, papa dan keluarga pak longnya sedang berkumpul dan berbual kosong.
“Jemput minum semua..” Dhamirah menuang air ke dalam cawan. Usai kerjanya, dia meminta diri dan berlari anak menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Dia sudah tidak sabar untuk menemui Dania dan melihat bilik pengantin yang tentu sudah berhias cantik.
“Kak Nia!!” Jerit Dhamirah sebaik dia sampai di pintu bilik Dania. Nasib baik pintu bilik itu kini sudah terbuka luas. Dania yang sedang berbincang sesuatu dengan seorang wanita segera menoleh. Dia turut menjerit memanggil nama Dhamirah lalu mereka berpelukan erat. Melepas rindu selepas lebih sebulan tidak bertemu.
“Bila sampai? Kenapa lambat? Janji pagi sampai, ni dah tengahari baru Nampak muka ni.” Dania mula membebel, sama seperti Puan Haryani sambil dia menarik tangan Dhamirah ke katil dan melabuh punggung di situ.
“Banyaknya soalan akak ni… Memang Mira nak balik awal, tapi kawan kawan ajak jumpa dulu. Ni pun, Mira lari ni, kalau tak, mesti lagi lambat.” Dhamirah menerangkan satu persatu. Dia memang sudah bersiap sejak awal, namun teman sekuliahnya mengajak dia berkumpul dulu sebelum mereka pulang ke kampong masing masing sempena cuti semester ini. Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk berkumpul dahulu sebelum masing masing beredar.
“Amboi… Amboi…. Ni jumpa kawan kawan ke, jumpa ‘kawan’ ni? Sampai lupa akak kat sini. Tu lah, akak nak ambil, Mira tak bagi. Rupanya ada janji dengan special ye?” Dania mengusik. Mak andam yang sedang sibuk menyusun atur sesuatu di meja solek sudah tdak diperdulikan lagi. Gembira bila dapat bertemu adik kesayangan dan bertukar cerita. Lebih gembira bila melihat wajah Dhamirah yang kelihatan tersipu – sipu bila Dania menyebut tentang teman istimewanya.
“Mana adalah, kak. Kawan biasa je. Mira tak nak susahkan akak. Lebih – lebih lagi akak nak kahwin esok, mana boleh keluar sesuka hati aje. Ni pun dah kena kurung dalam bilik. Tadi Mira tengok bilik ni tertutup je.” Dhamirah membalas perlahan sambil matanya melilau melihat sekeliling bilik yang berhias cantik dan berbau wangi dari haruman bunga rampai. Tatkala matanya singgah pada kurung moden yang tergantung di pintu almari, spontan dia bangun dari katil dan menuju ke situ. Matanya terpegun akan kecantikkan dan kehalusan jahitan pada baju kurung moden berwarna putih susu itu yang bertatah manic dan batu Swarovski. Dania yang membebel sudah tidak didengarinya lagi.
“Cantiknya… Baju nikah akak?” Dhamirah berpaling semula pada Dania. Jemari runcingnya menyentuh lembut baju yang tergantung. Melihat anggukan Dania, dia berpaling semula. Menikmati kehalusan kerja tangan pada baju kurung moden itu.
“Cantik, kan? Mira nak try?” Dania memberI cadangan, membuat Dhamirah pantas berpaling semula dengan seribu kerutan di dahi. Dia mencuba pakaian akad nikah itu? Adakah telinganya tersalah dengar?
“Try? Tak naklah…. Kalau Mira try, nanti hilang seri pengantin, sebab dah ada orang lain pakai dulu.” Dhamirah ketawa kecil. Ketawanya semakin kuat bila melihat Dania membuntang mata mendengar kata – katanya.
“Tak ada maknanya hilang seri. Lagipun try baju je, bukannya try abang Haris..” Usik Dania pula. Dhamirah mencebik.
“Euwww…. Try abang Haris? Tak naklah…. Try baju ni Mira tak nak, nak try abang Haris apa lagi..” Dhamriah mempamer wajah meluat hingga membuah tawa di bibir Dania. Dia sedar bagaimana hubungan adiknya itu dengan bakal suaminya. Entah kenapa, Haris Nampak begitu susah untuk berbaik dengan Dhamirah sedangkan dengan ahli keluarga lain, Haris mudah sahaja bergaul mesra. Mungkin juga kerana Dhamirah yang cukup dingin dengan Haris membuat hubungan mereka renggang sejak awal.
Dhamirah turut ketawa bila melihat Dania ketawa. Di wajah kakaknya terbayang wajah gembira kerana bakal bergelar isteri sedikit masa lagi, namun ada sesuatu di balik sinaran mata Dania yang tidak di fahami Dhamirah. Dania seolah – olah menyembunyi sesuatu di hatinya tetapi Dhamirah gagal menebak disebalik mata itu.
“Watch out your mouth, okey. Itu future husband kakak and automatically your brother-in-law, tau..” Dania bergurau, mengusik adik manjanya yang tidak suka dikaitkan dengan Haris. Sekali lagi Dhamirah mencebik hingga terburai lagi ketawa Dania. Baru sahaja Dhamirah ingin menjawab kata – kata Dania, telefon bimbit di atas meja solek Dania menjerit nyaring minta dijawab. Dania pantas menjawab panggilan itu. Pendek perbualan mereka apabila Dania segera membuka pintu almari dan mencapai sepasang baju melayu warna senada dengan baju kurung moden yang tergantung dari dlaam almari itu.
“Dik…. Tolong kakak. Tolong bagi baju ni kat abang Haris. Dia tunggu kat bawah.” Dania menghulur baju melayu itu kepada Dhamirah yang sudha berkerut – kerut tidak faham.
“Kenapa kakak tak bagi sendiri?” Tanya Dhamirah semula. Dia keberatan untuk berjumpa dengan Haris namun tangannya tetap menyambut huluran baju itu.
“Nope… Mana boleh. Petua orang tua – tua, pengantin tak boleh jumpa seminggu tarikh akad. Nanti hilang seri..” Dania membalas selamba. Dia tersengih bila Dhamirah membuntang mata mendengar bicaranya.
“Nonsense! Siapa yang buat petua tu… Kalau dah malas tu, cakap aje la…” Dhamirah menggigit bibr, geram dengan permintaan kakaknya itu. Dengan perlahan, dia melangkah menuju pintu.
“Thanks, sayang…” Jerit Dania sebelum dhamirah hilang di muka pintu. Dhamirah hanya tersenyum. Walaupun dia tidak selesa dengan bakal suami kakaknya itu, namun demi Dania, dia sanggup menolong apa sahaja.
Sebaik tiba di tingkat bawah, Dhamirah liar memerhati, mencari kelibat Haris. Dia ternampak lelaki itu di ruang tamu baru shaja selesai berbual dengan Hakimi yang sudah melangkah kea rah luar rumah. Dhamirah menarik nafas panjang lalu kakinya lambat – lambat melangkah kea rah Haris.
“Abang Haris…. Kak Nia bagi baju.” Dhamirah menghulur baju melayu itu sebaik Haris berpaling menghadapanya. Wajah Haris berkerut memandang Dhamirah. Baju yang dihulur Dhamirah masih tidak disambut.
“Kak Nia mana? Kenapa dia tak bagi sendiri?” Tegas suara Haris bertanya. Tidak faham dengan tingkah Dania yang seolah – olah cuba menjauhkan diri darinya sejak akhir – akhir ini.
“Err… Kat atas. Dia kata tak elok bakal pengantin jumpa dekat hari nak nikah, nanti hilang seri.” Dhamirah cuba mengukir senyum. Walaupun hubungan mereka berdua renggang, namun dua cuba untuk berbaik dengan lelaki itu hanya kerana lelaki itu bakal bergelar abang iparnya.
“Nonsense! Mana kakak kamu dapat idea mengarut tu?” Marah Haris sambil tangannya merentap sedikit kasar baju di tangan Dhamirah. Membuat gadis itu terkejut tetapi kemarahan Haris hanya dibalas dengan senyuman untuk menutup rasa takut yang tiba – tiba meraja di hatinya.
Semakin naik kemarahan Haris bila Dhamirah hanya berdiam diri. Entah kenapa, dia tidak boleh berbaik dengan gadis itu. Dia tidak faham kenapa dia tidak mampu untuk berbual mesra dengan Dhamirah sedangkan dengan ahli keluarga yang lain, dia senang sekali mesra.
“Tak apalah… Abang balik dulu. Kirim salam dengan kakak kamu tu.” Haris berpaling. Tidak mahu melayan rasa marah. Lebih – lebih lagi, tidak mahu Dhamirah yang tidak bersalah menjadi mangsa kemarahannya.
“Abang Haris…. Minum dulu sebelum balik.” Dhamirah mempelawa. Tidak elok rasanya membiar tetamu balik tanpa mempelawa minum terlebih dahulu. Haris menoleh kembali memandang Dhamirah. Tiada senyum di wajah itu.
“Tak apalah. Abang nak cepat. Kirim salam mama and papa.” Haris membalas lalu terus berlalu. Dhamirah hanya memandang langkah Haris dengan hati yang berbelah bahagi. Cuba membayangkan kehidupannya setelah lelaki itu sah menjadi abang iparnya. Bagaimana agaknya dia ingin berdepan Haris setelah esok? Walau tidak serumah, tetapi tentu dia akan kerap juga bersua muka dengan Haris. Bagaimana dia ingin berinteraksi dengan Haris jika hubungan mereka tetap renggang hingga ke saat ini.
Dhamirah menjongkit bahu, tidak mahu melayan angan yang dirasa sedikit berlebihan tentang lelaki itu. Pantas kakinya di atur semula ke tingkat atas. Tanpa dia sedar, ada sepasang mata yang asyik memerhati dia sejak tadi.
**********************************************************************
Pelamin yang tersergam indah di tengah ruang tamu itu direnung asyik. Tanpa henti, tangannya pantas menekan punat kamera untuk mengabadikan gambar pelamin berhias warna emas itu. Sesungguhnya, dia memang amat meminati hasil seni seperti ini. Namun menyedari yang dia tidak sekreatif seperti tukang andam ini, dia hanya mampu memandang dari jauh. Sebab itu, setiap pelamin di kenduri kahwin yang dihadirinya pasti akan di rakam di kamera digitalnya itu. Buat mengabdikan kenangan dan sebagai hobi dan minatnya kepada seni seperti itu.
“Mira memang minat dengan kerja hias hias ni, kan..” Tegur satu suara membuat Dhamirah berhenti mengambil gambar. Dia menoleh pada suara itu. Saat terpandang wajah yang berada disebelahnya, dia tersenyum lebar lantas mengangguk laju.
“Suka… tapi tangan Mira keras…” Dhamirah mengukir senyum manis. Terlepas rindu pada abang sepupu yang lapan tahun lebih tua dari dirinya itu. Hakimi ketawa kecil mendengar bicara itu. Manja dan lembut sekali. Sejuk hatinya setiap kali melihat wajah lembut itu.
“Kalau suka, belajarlah. Benda benda macam ni, boleh belajarlah, dik.” Hakimi memberi cadangan. Dhamirah pula yang ketawa. Dirasakan cadangan itu agak lucu.
“Tak mahulah. Mira pernah tolong kawan yang ambil upah menggubah hantaran. Hancur hantaran orang tu, bang. Sampai kawan Mira tu kena buat lain pulak.” Dhamirah masih galak ketawa, disambut dengan tawa Hakimi.
“Hrmm…. Kalau dah macam tu, memang tak bolehlah tu. Rosak majlis orang.” Hakimi mengusik pula. Mendengar itu, Dhamirah menjelir bibir. Disangkanya Hakimi akan terus memberi kata semangat. Rupanya, Hakimi mengusik pula.
Hakimi terpaku melihat aksi itu. Sudah lama tidak bertemu dengan gadis itu, Dhamirah semakin cantik dan sifat manjanya masih tidak berubah.
“Kak Nia dah nak kahwin. Abang bila lagi?” Dhamirah menukar topic perbualan. Tidak mahu Hakimi terus mengusiknya tentang hantaran kahwin yang dirosakkannya.
“Abang tunggu Mira.” Lancar Hakimi menjawab. Berkerut dahi Dhamirah mendengar jawapan itu. Tunggu dia? Alamatnya, sampai tua lah baru abang sepupunya akan bergelar suami. Dia punya perancangan yang cukup panjang tentang masa depannya sebelum memikirkan tentang berumah tangga.
“Mira lambat lagi kahwin, bang. Mungkin sepuluh tahun lagi. Kalau abang nak tunggu Mira kahwin, lepas tu bru abang kahwin, tualah abang.” Seloroh Dhamirah.
“Tak apalah, abang tunggu juga.”
“Kenapa abang nak tunggu Mira pulak? Kesian girlfriend abang, lama dia tunggu nak jadi isteri abang.” Dhamirah mula serius. Disangkanya Hakimi hanya bergurau tentang perkara itu, namun wajah serius Hakimi menyedarkannya. Hakimi mengukir senyum. Wajah tampan itu semakin menarik bila dia melakar senyum begitu.
“Siapalah yang sudi dengan abang ni, Mira. Orang yang abang suka pun, tak suka dengan abang.”
“Siapa yang tak suka abang tu? Rugi tau, abang dahlah handsome, baik pulak tu. Memang rugilah perempuan itu.” Dhamirah mula simpati. Itulah kelemahannya yang paling ketara. Mudah simpati dan kasihan pada sesiapa sahaja yang mengalami masalah.
Hakimi tertawa lepas. Dhamirah tidak pernah berubah. Terlalu mudah percaya dengan orang dan mudah pula jatuh simpati pada seseorang.
“Tak adalah, dik. Abang belum jumpa dengan orang yang abang nak habiskan hidup dengannya. So, abang belum terfikir nak kahwin lagi. Tapi kalau Mira sudi nak jadi isteri abang, esok pun kita boleh nikah.” Hakimi mengusik lagi. Dia mengusap kepala Dhamirah membuat rambut ikal mayang gadis itu kusut masai.
“Eee… Main- main tau. Mira betul betul ingat abang tengah frust. Tak baik tau abang ni.” Dhamirah membentak. Segera bahu lelaki itu ditumbuk perlahan. Meledak tawa Hakimi sambil membiarkan gadis itu terus memukul bahunya. Kemanjaan itulah yang sering dirinduinya.
“So, nak nikah dengan abang tak esok?” Hakimi masih belum jemu mengusik bila Dhamirah sudah mula merajuk. Dhamirah membuntangkan matanya mendengar kata-kata Hakimi. Tidak habis habis lagi lelaki itu mahu mengenakannya. Dhamirah mencebik bibir.
“Malas layan abang!” bentak Dhamirah lalu melangkah laju menaiki anak tangga ke tingkat atas. Niatnya ingin ke bilik Dania untuk melihat persiaan terakhir kakaknya itu sebelum bernikah petang esok.
Hakimi yang tinggal di ruang tamu itu hanya tertawa dengan aksi itu. Manja yang memikat hati. Manja yang membuat dia tertarik pada gadis itu. Tanpa Dhamirah sedar, dalam usikan itu, Hakimi sebenarnya menyimpan rasa untuk gadis manis itu.
No comments:
Post a Comment