Thursday 29 November 2012

Tentang Kau Dan Aku 1

1.
                Dia melabuh duduk di kerusi Taman Pullman Putrajaya. Duduk merenung air tasik yang sesekali berombak. Lama termenung, dia melepas keluh perlahan. Semakin pusing kepalanya bila terkenangkan pertengkaran yang baru terjadi. Mencari di mana pula silapnya kali ini. Mencari dimana salah silap dalam perlakuannya. Segala – galanya jadi kucar – kacir kini. Kenapalah begini jadinya?
Bukk!!
                Sebiji bola tepat mengenai kepala yang tengah sarat dengan bermacam masalah. Dia menggosok kepala yang terasa sakit. Sambil mata liar mencari siapa yang membaling bola ke arah kepalanya. Bola plastic yang tergolek di antara dua kakinya di capai. Agak ramai kanak – kanak yang berkejaran di masa ini tetapi siapa yang baling bola. Hati yang sarat dengan masalah cepat sahaja menjadi marah. Ingin rasanya dijeritkan pada semua orang yang lalu lalang.
                “Uncle…. Itu bola kita..” Satu suara mersik menerjah telinganya. Pantas dia menoleh ke kiri, kearah suara itu. Ingin meluahkan marah namun saat pandangan mata bertaut dengan pandangan si kecil, hati yang mendidih geram terasa disiram salju. Wajah putih dengan pipi tembam itu menyejukkan hati. Mata bulat dengan anak mata berwarna biru itu bagai menagih simpati. Bila direnung, mata itu tidak ubah seperti sepasang mata miliknya.
                “Bola adik?” Tanyanya sedikit serius. Bola ditangan ditimang – timang. Tiada senyuman di wajah yang mula ditumbuhi jambang, si anak kecil tidak jadi mengukir senyum. Sebaliknya mengangguk laju. Takut dimarahi oleh lelaki dihadapannya ini.
                “Sorry, uncle. Zahra tertendang kat uncle. Kepala uncle sakit ye?” Anak kecil yang membahasakan dirinya Zahra itu mula mendekati. Dia memanjat kerusi taman dan tanpa kata, dia mengusap kepala lelaki itu. Sesekali, dia menghembus lembut ke arah kepala. Seolah – olah mengubati kepala yang sebenarnya tidaklah begitu sakit. Dia yang terperanjat dengan tindakan spontan itu, cuba mengelak menjauhi. Memang menjadi kepantangannya jika ada yang menyentuh rambutnya yang tersisir rapi.
                “Uncle janganlah gerak. Macam mana Zahra nak ubatkan uncle kalau uncle tak reti duduk diam?” Selamba si Zahra menegur. Dia bercekak pinggang dengan mata yang sengaja dibuntangkan. Umpama marah benar dengan dirinya yang cuba mengelak. Meletus tawanya mendengar bicara itu. Budak sekecil itu, apa yang dia tahu dengan kemarahan orang lain.
                “Adik nak ubatkan uncle? Boleh sembuh ke main sapu – sapu macam ni?” Gurau si lelaki. Cuba bermesra dengan anak kecil. Sesuatu yang dia tidak punya dan yang terlalu lama diidamkannya. Melebar senyumannya ketika Zahra terangguk – angguk.
                “Boleh. Ummi selalu sapu kepala Zahra bila Zahra sakit kepala. Lepas tu ummi hembus kat kita. Kejap je dah okey.” Petah bicaranya. Hilang sudah marahnya dengan kerenah bersahaja si Zahra.
                “Tapi kepala uncle belum baik pun. Adik tak pandai ubatkan macam ummi ye?”
                “Nama kita Zahra lah, uncle! Macam mana nak baik kalau uncle tak duduk diam.” Marah lagi. Sekali lagi Zahra bercekak pinggang. Geram dengan uncle yang main – mainkan dirinya. Si lelaki tertawa lepas lalu disuakan kepala untuk si kecil kembali mengusap. Dengan senyum lebar, Zahra segera mengusap kepala si uncle. Habis berserabut kepala lelaki itu.
                “Okey…. Dah baik belum?” Soal Zahra sambil dia melabuh punggung di sebelah lelaki itu. lelaki disebelahnya hanya mengangguk. Tubuh kecil Zahra dipeluk mesra.
                “Dah okey. Thanks. By the way, siapa nama tadi?”
                “Zahra.”
                “Zahra…. Sedap nama tu. Nama uncle Haizar. Ummi dengan papa Zahra mana?” Haizar bertanya juga. Sesekali, wajah yang ralit memerhatikan bolanya di curi tengok. Sangat comel, namun yang jadi persoalan mindanya, kenapa mata itu sangat mirip dengan matanya?
                “Sedap macam ais krim, kan? Mama selalu cakap macam tu.” Zahra mengangkat muka, kemudian ketawa dengan kata – katanya sendiri. Berkerut dahi Haizar. Bukankah tadi Zahra menyebut ummi? Kenapa sekarang mama pula? Berapa orang mak yang budak ni ada?
                “Siapa mama?”
                “Mama kitalah.”
                “Ummi?”
                “Ummi kita. Uncle tak tahu ke?” Polos budak itu bertanya. Semakin hairan Haizar. Pening melayan budak terlebih ketelah. Lain maksud soalannya, lain pula jawapan yang diberinya.
                “Okey, never mind. Sebab Zahra dah ubatkan uncle, jom uncle belanja ais krim. Nak?”
                “Yeay!!” Zahra meloncat kegirangan. Cepat dia melompat turun dari kerusi namun kemudian dia memandang wajah Haizar dengan wajah moncong.
                “Tak boleh. Ummi cakap jangan ambil apa – apa dari orang kita tak kenal.”
                “Kan kita dah kenal.” Haizar menguji. Dia kagum dengan didikan si ibu. Lebih kagum dengan Zahra yang ingat akan pesanan umminya. Tersenyum dia bila melihat Zahra seperti sedang berfikir. Mungkin memikirkan kebenaran kata – katanya tadi.
                “Iyelah…. Jom.” Zahra mengukir senyum comel. Selamba dia mencapai jemari kasar Haizar. Terkejut Haizar, namun saat jari mereka bertaut, ada perasaan asing yang melanda hatinya.
                “Zahra! Ya Allah, Zahra kemana sayang? Puas dah teacher cari Zahra.” Kemunculan seorang gadis berseluar jeans dan T-shirt sendat mengalih tumpuan Haizar. Wajah hitam manis itu dipandang atas bawah. Zahra pula segera melepaskan tangannya dan berlari mendapatkan gadis dihadapannya.
                “Tadi Zahra main bola, lepas tu tertendang kat kepala uncle. Uncle sakit, Zahra ubatkanlah.” Panjang lebar si kecil Zahra menerangkan. Si gadis pula tekun mendengar.
                “Jadi, tadi yang pegang tangan uncle, nak kemana pulak?”
                “Uncle nak belanja ais krim sebab Zahra dah ubatkan dia.” Petah bicara Zahra diikuti dengan ketawanya. Tersenyum Haizar. Dunia kanak – kanak, penuh warna – warni. Tiada sebarang masalah yang menghuni fikiran.
                “Err… maaf encik. Zahra ni memang macam ni. Becok tak bertempat. Dia tendang bola kena kepala encik ye? Saya betul betul minta maaf. Saya pun tak perasan dia dah bermain sampai ke sini.” Giliran si gadis pula meminta maaf.
                “Tak apa. Bola plastic aje. By the way, you are…?”
                “Oh, sorry. Saya cikgu taska Zahra. Hari ni, kami buat lawatan ke sini. Saja, nak bagi budak – budak ambil angin. Tak seronok pula asyik berkurung di taska. Tapi budak kecik ni memang tak reti nak duduk diam.” Gurau cikgu Zahra sambil dia mencubit pipi Zahra yang tembam. Tertawa Haizar dengan kata – kata itu.
                “Memang becok and tak reti duduk diam. Saya nak pinjam dia sekejap., boleh? Dah janji nak belikan dia ais krim. Tak elok pulak kalau mungkir janji dengan budak sebesar ni.” Haizar meminta kebenaran. Hati sudah melekat pada Zahra, serasa tidak mahu berpisah dengan anak kecil itu.
                “Maaf, encik. Bukan tak bagi, tapi tanggungjawab kami untuk pastikan keselamatan budak – budak ni. Jangan salah anggap kata – kata saya tapi saya harap encik faham.”
                Haizar terangguk – angguk. Dia faham, ketika di bawah jagaan taska, memang keselamatan budak – budak di dalam tanggungjawab cikgu semua. Namun, hatinya masih keras ingin meluangkan masa dengan Zahra. Terhibur dengan sikap selamba dan kepetahan Zahra berbicara.
                “Saya faham. Macam inilah, ada berapa orang budak yang ikut cikgu hari ni?”
                “Sepuluh. Kenapa?”
                “Okey, cikgu ikut saya. Kita pergi beli ais krim. Saya belanja semua orang, termasuk cikgu.”
                “Err…. Tapi.”
                “No but. Cikgu ikut aje. Saya pun teringin nak join lawatan cikgu ni.” Haizar memaksa dalam ajakannya. Agak lama juga cikgu muda termenung berfikir sebelum akhirnya mengangguk setuju.
                Si Zahra pula? Melonjak gembira saat diberitahu yang uncle Haizarnya akan belikan dia ais krim.
*************************************************************************************
                
 Kereta Persona yang dipandu dengan kelajuan sederhana riuh didalamya bila Zahra seronok bercerita. Tentang lawatan ke Taman Pullman Putrajaya. Tentang keriangan mereka bermain di taman itu. Dan tentang seorang lelaki yang baik hati belanja dia dan kawan – kawannya makan ais krim sampai perut jadi kembung.
                “Siapa yang belanja sayang makan ais krim?” Si ibu yang tenang memandu bertanya ala kadar. Sekadar melayan keletah si anak yang memang petah berbicara dan kalau dilayan sangat, mulut kecil itu memang tidak henti – henti berceloteh.
                “Uncle Ejar… Tadi Zahra main bola, lepas tu tertendang kat kepala dia. Zahra ubatkan dia. Sebab tu lah uncle belanja Zahra ais krim.” Terang Zahra. Haizar sudah bertukar Ejar. Susah sangat agaknya lidah itu nak menyebut nama Haizar.
                “Uncle Ejar? Uncle mana pula? Kan ummi dah pesan banyak kali, jangan ambil apa – apa dari orang yang kita tak kenal. Sayang lupa ye?” Dalam lembutnya bicara pada Zahra, dia menitipkan pesanan. Juga peringatan agar anak kesayangan itu sering berhati – hati.
                “Tapi Zahra dah kenal la uncle Ejar. Kan tadi Zahra dah cerita.” Zahra sedikit membantah. Tidak suka umminya mempertikaikan uncle Ejarnya yang dirasakan baik walau hanya dibelanja ais krim.
                “Iye, sayang. Ummi dengar cerita Zahra.”
                “Uncle baik. Dia belanja Zahra dengan kawan – kawan makan ais krim. Teacher Nini dan Teacher Azie pun dapat.” Makin panjang celoteh Zahra. Dia ketawa di akhir bicaranya. Gembira sangat bila dapat makan ais krim kegemarannya. Apalagi uncle Ejarnya hanya mengikut sahaja kehendaknya sebentar tadi.
                “Zahra say thank you to uncle ke tidak?” Si ibu melanjutkan Tanya. Walaupun kurang bersetuju dengan tingkah Zahra yang senang mengikut orang asing, namun dia juga harus ucapkan terima kasih kepada lelaki itu yang bermurah hati membelanja permata hatinya.
                Zahra tidak menjawab sebaliknya terangguk-angguk tanda mengiyakan. Mata bulat itu kuyu. Mungkin sudah letih. Seharian berjalan. Tadi seronok bercerita, kini mengantuk pula. Si ibu mengukir senyum bahagia. Keletah si anak buat dirinya benar-benar bahagia.
                “Sayang dah mengantuk ye? Ummi nak pergi ambil mama and then nak terus ke rumah granny. Kalau sayang mengantuk, ummi cancel plan and kita balik rumah terus ye?” Ummi Zahra menduga. Selain ke rumah teman baiknya yang dipanggil mama oleh Zahra, rumah anak yatim kepunyaan Mummy Rosnah juga menjadi tempat yang paling Zahra suka. Di situ, ramai teman – teman sebayanya yang senang di buat kawan. Kalau tidak pun, adik – adik yang sudah bersekolah rajin melayan Zahra yang tak reti duduk diam. Ada sahaja benda yang nak dibuatnya.
“Yeayy!! Nak, nak… janganlah balik rumah dulu ummi. Nak pergi rumah Granny. Dah lama tak jumpa Jaja, Epol, Nini…” dan semakin ramai nama teman-teman yang disebut Zahra. Semakin lebar senyum si ibu lalu kepala Zahra di gosok perlahan. Seluruh perasaan kasih, sayang dan cintanya jatuh pada anak sekecil ini. Zahra lah kekuatannya dan semangatnya untuk hidup.
                “Okey, sayang. We’re going to Granny’s house. Kalau sayang mengantuk sangat, take a nap. Bila sampai nanti, ummi kejut Zahra ye.”
                “Betul? Promise?”
                “Iye, ummi promise. Dah, tidur dulu. Nanti ummi kejut.” Ibu memberikan janji. Pantas pipinya dicium Zahra dan kemudian Zahra berbaring di sofa tempat duduk belakang. Sekejapan, anak kecil itu sudah lena dibuai mimpi. Ibunya tersenyum lagi. Setiap hari, ada sahaja keletah Zahra yang mencuit hati. Hilang segala kepenatan menghadapi kerja bila menatap wajah itu dan seronok melihat anaknya membesar di depan mata.