1.
Dia
melabuh duduk di kerusi Taman Pullman Putrajaya. Duduk merenung air tasik yang
sesekali berombak. Lama termenung, dia melepas keluh perlahan. Semakin pusing
kepalanya bila terkenangkan pertengkaran yang baru terjadi. Mencari di mana
pula silapnya kali ini. Mencari dimana salah silap dalam perlakuannya. Segala –
galanya jadi kucar – kacir kini. Kenapalah begini jadinya?
Bukk!!
Sebiji
bola tepat mengenai kepala yang tengah sarat dengan bermacam masalah. Dia
menggosok kepala yang terasa sakit. Sambil mata liar mencari siapa yang
membaling bola ke arah kepalanya. Bola plastic yang tergolek di antara dua
kakinya di capai. Agak ramai kanak – kanak yang berkejaran di masa ini tetapi
siapa yang baling bola. Hati yang sarat dengan masalah cepat sahaja menjadi
marah. Ingin rasanya dijeritkan pada semua orang yang lalu lalang.
“Uncle….
Itu bola kita..” Satu suara mersik menerjah telinganya. Pantas dia menoleh ke
kiri, kearah suara itu. Ingin meluahkan marah namun saat pandangan mata bertaut
dengan pandangan si kecil, hati yang mendidih geram terasa disiram salju. Wajah
putih dengan pipi tembam itu menyejukkan hati. Mata bulat dengan anak mata
berwarna biru itu bagai menagih simpati. Bila direnung, mata itu tidak ubah
seperti sepasang mata miliknya.
“Bola
adik?” Tanyanya sedikit serius. Bola ditangan ditimang – timang. Tiada senyuman
di wajah yang mula ditumbuhi jambang, si anak kecil tidak jadi mengukir senyum.
Sebaliknya mengangguk laju. Takut dimarahi oleh lelaki dihadapannya ini.
“Sorry,
uncle. Zahra tertendang kat uncle. Kepala uncle sakit ye?” Anak kecil yang
membahasakan dirinya Zahra itu mula mendekati. Dia memanjat kerusi taman dan
tanpa kata, dia mengusap kepala lelaki itu. Sesekali, dia menghembus lembut ke
arah kepala. Seolah – olah mengubati kepala yang sebenarnya tidaklah begitu
sakit. Dia yang terperanjat dengan tindakan spontan itu, cuba mengelak
menjauhi. Memang menjadi kepantangannya jika ada yang menyentuh rambutnya yang
tersisir rapi.
“Uncle
janganlah gerak. Macam mana Zahra nak ubatkan uncle kalau uncle tak reti duduk
diam?” Selamba si Zahra menegur. Dia bercekak pinggang dengan mata yang sengaja
dibuntangkan. Umpama marah benar dengan dirinya yang cuba mengelak. Meletus tawanya
mendengar bicara itu. Budak sekecil itu, apa yang dia tahu dengan kemarahan
orang lain.
“Adik
nak ubatkan uncle? Boleh sembuh ke main sapu – sapu macam ni?” Gurau si lelaki.
Cuba bermesra dengan anak kecil. Sesuatu yang dia tidak punya dan yang terlalu
lama diidamkannya. Melebar senyumannya ketika Zahra terangguk – angguk.
“Boleh.
Ummi selalu sapu kepala Zahra bila Zahra sakit kepala. Lepas tu ummi hembus kat
kita. Kejap je dah okey.” Petah bicaranya. Hilang sudah marahnya dengan kerenah
bersahaja si Zahra.
“Tapi
kepala uncle belum baik pun. Adik tak pandai ubatkan macam ummi ye?”
“Nama
kita Zahra lah, uncle! Macam mana nak baik kalau uncle tak duduk diam.” Marah
lagi. Sekali lagi Zahra bercekak pinggang. Geram dengan uncle yang main –
mainkan dirinya. Si lelaki tertawa lepas lalu disuakan kepala untuk si kecil
kembali mengusap. Dengan senyum lebar, Zahra segera mengusap kepala si uncle.
Habis berserabut kepala lelaki itu.
“Okey….
Dah baik belum?” Soal Zahra sambil dia melabuh punggung di sebelah lelaki itu.
lelaki disebelahnya hanya mengangguk. Tubuh kecil Zahra dipeluk mesra.
“Dah
okey. Thanks. By the way, siapa nama tadi?”
“Zahra.”
“Zahra….
Sedap nama tu. Nama uncle Haizar. Ummi dengan papa Zahra mana?” Haizar bertanya
juga. Sesekali, wajah yang ralit memerhatikan bolanya di curi tengok. Sangat
comel, namun yang jadi persoalan mindanya, kenapa mata itu sangat mirip dengan
matanya?
“Sedap
macam ais krim, kan? Mama selalu cakap macam tu.” Zahra mengangkat muka,
kemudian ketawa dengan kata – katanya sendiri. Berkerut dahi Haizar. Bukankah
tadi Zahra menyebut ummi? Kenapa sekarang mama pula? Berapa orang mak yang
budak ni ada?
“Siapa
mama?”
“Mama
kitalah.”
“Ummi?”
“Ummi
kita. Uncle tak tahu ke?” Polos budak itu bertanya. Semakin hairan Haizar.
Pening melayan budak terlebih ketelah. Lain maksud soalannya, lain pula jawapan
yang diberinya.
“Okey,
never mind. Sebab Zahra dah ubatkan uncle, jom uncle belanja ais krim. Nak?”
“Yeay!!”
Zahra meloncat kegirangan. Cepat dia melompat turun dari kerusi namun kemudian
dia memandang wajah Haizar dengan wajah moncong.
“Tak
boleh. Ummi cakap jangan ambil apa – apa dari orang kita tak kenal.”
“Kan
kita dah kenal.” Haizar menguji. Dia kagum dengan didikan si ibu. Lebih kagum
dengan Zahra yang ingat akan pesanan umminya. Tersenyum dia bila melihat Zahra
seperti sedang berfikir. Mungkin memikirkan kebenaran kata – katanya tadi.
“Iyelah….
Jom.” Zahra mengukir senyum comel. Selamba dia mencapai jemari kasar Haizar.
Terkejut Haizar, namun saat jari mereka bertaut, ada perasaan asing yang
melanda hatinya.
“Zahra!
Ya Allah, Zahra kemana sayang? Puas dah teacher cari Zahra.” Kemunculan seorang
gadis berseluar jeans dan T-shirt sendat mengalih tumpuan Haizar. Wajah hitam
manis itu dipandang atas bawah. Zahra pula segera melepaskan tangannya dan
berlari mendapatkan gadis dihadapannya.
“Tadi
Zahra main bola, lepas tu tertendang kat kepala uncle. Uncle sakit, Zahra
ubatkanlah.” Panjang lebar si kecil Zahra menerangkan. Si gadis pula tekun
mendengar.
“Jadi,
tadi yang pegang tangan uncle, nak kemana pulak?”
“Uncle
nak belanja ais krim sebab Zahra dah ubatkan dia.” Petah bicara Zahra diikuti
dengan ketawanya. Tersenyum Haizar. Dunia kanak – kanak, penuh warna – warni.
Tiada sebarang masalah yang menghuni fikiran.
“Err…
maaf encik. Zahra ni memang macam ni. Becok tak bertempat. Dia tendang bola
kena kepala encik ye? Saya betul betul minta maaf. Saya pun tak perasan dia dah
bermain sampai ke sini.” Giliran si gadis pula meminta maaf.
“Tak
apa. Bola plastic aje. By the way, you are…?”
“Oh,
sorry. Saya cikgu taska Zahra. Hari ni, kami buat lawatan ke sini. Saja, nak
bagi budak – budak ambil angin. Tak seronok pula asyik berkurung di taska. Tapi
budak kecik ni memang tak reti nak duduk diam.” Gurau cikgu Zahra sambil dia
mencubit pipi Zahra yang tembam. Tertawa Haizar dengan kata – kata itu.
“Memang
becok and tak reti duduk diam. Saya nak pinjam dia sekejap., boleh? Dah janji
nak belikan dia ais krim. Tak elok pulak kalau mungkir janji dengan budak
sebesar ni.” Haizar meminta kebenaran. Hati sudah melekat pada Zahra, serasa
tidak mahu berpisah dengan anak kecil itu.
“Maaf,
encik. Bukan tak bagi, tapi tanggungjawab kami untuk pastikan keselamatan budak
– budak ni. Jangan salah anggap kata – kata saya tapi saya harap encik faham.”
Haizar
terangguk – angguk. Dia faham, ketika di bawah jagaan taska, memang keselamatan
budak – budak di dalam tanggungjawab cikgu semua. Namun, hatinya masih keras
ingin meluangkan masa dengan Zahra. Terhibur dengan sikap selamba dan kepetahan
Zahra berbicara.
“Saya
faham. Macam inilah, ada berapa orang budak yang ikut cikgu hari ni?”
“Sepuluh.
Kenapa?”
“Okey,
cikgu ikut saya. Kita pergi beli ais krim. Saya belanja semua orang, termasuk
cikgu.”
“Err….
Tapi.”
“No
but. Cikgu ikut aje. Saya pun teringin nak join lawatan cikgu ni.” Haizar
memaksa dalam ajakannya. Agak lama juga cikgu muda termenung berfikir sebelum
akhirnya mengangguk setuju.
Si
Zahra pula? Melonjak gembira saat diberitahu yang uncle Haizarnya akan belikan
dia ais krim.
*************************************************************************************
Kereta
Persona yang dipandu dengan kelajuan sederhana riuh didalamya bila Zahra
seronok bercerita. Tentang lawatan ke Taman Pullman Putrajaya. Tentang
keriangan mereka bermain di taman itu. Dan tentang seorang lelaki yang baik
hati belanja dia dan kawan – kawannya makan ais krim sampai perut jadi kembung.
“Siapa
yang belanja sayang makan ais krim?” Si ibu yang tenang memandu bertanya ala
kadar. Sekadar melayan keletah si anak yang memang petah berbicara dan kalau
dilayan sangat, mulut kecil itu memang tidak henti – henti berceloteh.
“Uncle
Ejar… Tadi Zahra main bola, lepas tu tertendang kat kepala dia. Zahra ubatkan
dia. Sebab tu lah uncle belanja Zahra ais krim.” Terang Zahra. Haizar sudah
bertukar Ejar. Susah sangat agaknya lidah itu nak menyebut nama Haizar.
“Uncle
Ejar? Uncle mana pula? Kan ummi dah pesan banyak kali, jangan ambil apa – apa
dari orang yang kita tak kenal. Sayang lupa ye?” Dalam lembutnya bicara pada
Zahra, dia menitipkan pesanan. Juga peringatan agar anak kesayangan itu sering
berhati – hati.
“Tapi
Zahra dah kenal la uncle Ejar. Kan tadi Zahra dah cerita.” Zahra sedikit
membantah. Tidak suka umminya mempertikaikan uncle Ejarnya yang dirasakan baik
walau hanya dibelanja ais krim.
“Iye,
sayang. Ummi dengar cerita Zahra.”
“Uncle
baik. Dia belanja Zahra dengan kawan – kawan makan ais krim. Teacher Nini dan
Teacher Azie pun dapat.” Makin panjang celoteh Zahra. Dia ketawa di akhir
bicaranya. Gembira sangat bila dapat makan ais krim kegemarannya. Apalagi uncle
Ejarnya hanya mengikut sahaja kehendaknya sebentar tadi.
“Zahra
say thank you to uncle ke tidak?” Si ibu melanjutkan Tanya. Walaupun kurang
bersetuju dengan tingkah Zahra yang senang mengikut orang asing, namun dia juga
harus ucapkan terima kasih kepada lelaki itu yang bermurah hati membelanja
permata hatinya.
Zahra tidak
menjawab sebaliknya terangguk-angguk tanda mengiyakan. Mata bulat itu kuyu. Mungkin
sudah letih. Seharian berjalan. Tadi seronok bercerita, kini mengantuk pula. Si
ibu mengukir senyum bahagia. Keletah si anak buat dirinya benar-benar bahagia.
“Sayang
dah mengantuk ye? Ummi nak pergi ambil mama and then nak terus ke rumah granny.
Kalau sayang mengantuk, ummi cancel plan and kita balik rumah terus ye?” Ummi
Zahra menduga. Selain ke rumah teman baiknya yang dipanggil mama oleh Zahra,
rumah anak yatim kepunyaan Mummy Rosnah juga menjadi tempat yang paling Zahra
suka. Di situ, ramai teman – teman sebayanya yang senang di buat kawan. Kalau tidak
pun, adik – adik yang sudah bersekolah rajin melayan Zahra yang tak reti duduk
diam. Ada sahaja benda yang nak dibuatnya.
“Yeayy!! Nak, nak… janganlah balik rumah dulu ummi. Nak pergi
rumah Granny. Dah lama tak jumpa Jaja, Epol, Nini…” dan semakin ramai nama
teman-teman yang disebut Zahra. Semakin lebar senyum si ibu lalu kepala Zahra
di gosok perlahan. Seluruh perasaan kasih, sayang dan cintanya jatuh pada anak
sekecil ini. Zahra lah kekuatannya dan semangatnya untuk hidup.
“Okey,
sayang. We’re going to Granny’s house. Kalau sayang mengantuk sangat, take a
nap. Bila sampai nanti, ummi kejut Zahra ye.”
“Betul?
Promise?”
“Iye,
ummi promise. Dah, tidur dulu. Nanti ummi kejut.” Ibu memberikan janji. Pantas pipinya
dicium Zahra dan kemudian Zahra berbaring di sofa tempat duduk belakang. Sekejapan,
anak kecil itu sudah lena dibuai mimpi. Ibunya tersenyum lagi. Setiap hari, ada
sahaja keletah Zahra yang mencuit hati. Hilang segala kepenatan menghadapi
kerja bila menatap wajah itu dan seronok melihat anaknya membesar di depan
mata.