Thursday, 22 March 2012

Bab 10 : Ingin Kulafazkan Cinta

10.
                Berjalan – jalan menemani Luqman dan Rianna di hari Sabtu itu memang membuat Ayu teruja. Sudah lama dia tidak keluar beramai – ramai seperti ini. Selalunya, masing – masing sibuk dengan aktiviti sendiri. Tetapi hari ini, apabila Luqman mengajak dia untuk turut serta dalam misi pencarian baju nikah dan segala persiapan perkahwinan dia dan Rianna, Ayu tidak menolak. Walaupun, rasa terujanya sedikit turun apabila diberitahu Luth akan turut serta, namun dia cekalkan hati. Tak kiralah apa sahaja kata – kata Luth yang akan buat dia sakit hati, dia sudah bersedia. Dia ingin enjoy puas – puas hari ini.
                Destinasi pertama mereka adalah gedung pakaian Gulati’s di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mencari pakaian nikah Luqman dan Rianna serta pakaian ahli keluarga yang lain. Oh, Luqman dan Rianna akan bernikah dalam masa dua bulan lagi. Yang peliknya, baru sahaja minggu lepas Pak Long dan Mak Long pergi meminang Rianna. Bila balik, Pak Long beritahu Luqman dan Rianna akan dinikahkan 2 bulan lagi. Tak perlu bertunang, bernikah sahaja terus. Cepat betul, sudah tak sabar – sabar agaknya mereka berdua tu. Dan, sekarang, dia jadi mangsa diheret oleh Rianna dan Luqman kesana kemari. Letih mencari pakaian nikah, mereka ke Pavillion pula. Mencari cincin nikah dan barang hantaran.
                “Lamanya Kak Rianna pilih. Tak ada yang berkenan ke?” Tanya Ayu setelah lama menunggu. Dia memerhati Rianna yang masih membelek – belek sebentuk cincin di jarinya. Rianna menoleh sekilas dan tersenyum.
                “Akak tempah yang barulah. Sepasang dengan abang Luqman. Ni, tunggu abang Luqman bayar.” Jelas Rianna. Ayu mengangguk sahaja, orang kaya dan banyak duit, tentu tidak ada masalah untuk menempah yang baru.
                “Okay. Ayu tunggu kat luar ye.” Ayu membalas. Tanpa menunggu jawapan Rianna, dia terus keluar dari kedai emas berjenama itu. Seram sejuk berada di dalam kedai itu, serba serbi mahal!
                Ops! Sorry!” Ayu segera meminta maaf sebaik dia terlanggar seseorang. Aish, macam mana boleh terlanggar pula? Cuai betul! Marah hatinya.
                It’s okay. Sikit aje.”
                Mendengar suara itu, Ayu segera mengangkat muka. Terkejut bila wajah itu berada dihadapannya. Lebih terkejut bila lelaki dihadapannya juga turut merenungnya tajam.
                “Err… Sorry. Tak… Tak sengaja.” Sedikit gagap. Walau sudah beberapa kali berhadapan dengan Idraki, tetapi lidahnya tetap kelu untuk bersuara.
                “Tak apa. Sikit aje. Tak ada yang cedera.” Idraki juga kelihatan tergamam. Berhadapan dengan Ayu amat payah sekali walau mereka sering berjumpa atas urusan perniagaan. Namun, bila bersemuka tanpa urusan pekerjaan, lidahnya turut kelu.
                Shopping?” Tanya Idraki, memecah kesunyian. Ayu yang sudah berkira – kira ingin pergi dari lelaki itu tergamam sebentar. Tidak menyangka Idraki ringan mulut menyapanya.
                “Err… Ya. Eh, tak.” Ayu masih kalut. Serba canggung berada dihadapan lelaki itu. Idraki juga tidak pernah mempamer wajah mesra kepadanya. Serius, namun matanya sering merenungnya tajam dan jauh. Tangannya naik menyentuh tudung di pipi, semakin kalut dan segan.
                “Sorang?” Tanya Idraki lagi. Dia sembunyi senyum. Gadis itu sering kali kalut bila mereka berduaan begini. namun, di malam penuh kenangan di Pulau Tioman lewat waktu dahulu, tidak pula begini keadaan Ayu.
                “Err… De-“
                “Ayu, buat apa kat luar ni? Along dengan Anna mana?” Soalan dari suara garau itu memotong kata – kata Ayu. Tanpa sedar, dia menarik nafas lega. Segera dia berpaling pada suara itu dan senyuman paling manis dihadiahkan buat Luth yang baru keluar dari tandas.
                “Tunggu abang. Along dengan Kak Anna belum habis tempah cincin lagi. Bosan kat dalam tu.” Entah kenapa, suara Ayu berubah sedikit manja dengan Luth. Berkerut dahi Idraki mendengar kata – kata manja itu. Siapa lelaki itu? Tanya hatinya. Sedikit rasa sakit menyentak dada. Tiba – tiba dia rasa tidak suka dengan tone suara Ayu yang manja begitu pada lelaki yang baru menyertai mereka.
                “Oh.. Err, ni… siapa?” Luth mengalih pandang pada Idraki. Sejak tadi dia memerhatikan tingkah Ayu dengan Idraki. Ayu Nampak canggung sekali dan renungan tajam mata lelaki itu pada Ayu sungguh dia tidak suka.
                “Oh, lupa. Kenalkan. Ini, encik Idraki. Customer Syarikat Chantique Design & Landskap. Err… Encik, ini sepupu saya, Luth Hakimi.” Ayu memperkenalkan mereka berdua. Keduanya saling berjabat tangan namun renungan diantara keduanya buat Ayu tidak senang hati. Dalam hatinya berdoa agar cepat Idraki pergi dari tempat itu.
                Shopping juga?” Luth sekadar berbahasa. Melihat tangan Idraki yang kosong tanpa sebarang barangan, dia keliru. Idraki tersenyum lalu menggeleng kepala perlahan.
                “Teman my friend shopping. Stuck dekat dalam kedai tu.” Idraki halakan ibu jarinya ke satu butik yang menjual pakaian berjenama mahal. Kemudian, dia dan Luth sama – sama mengukir senyum.
                “Hei, Idraki. What a surprise! Shopping?” Suara Luqman tiba – tiba menyapa telinga mereka bertiga. Wajah Ayu tiba – tiba berubah kalut lagi. Kantoi. Kalau sudah dia ditemui bershopping bersama Luqman hari ini, tentu pecah rahsianya yang punya hubungan dengan Luqman dan Encik Saiful.
                “Hai. Shopping jugak? Dengan Ayu?” Idraki menyambut salam yang dihulur Luqman. Pandangannya silih berganti antara Ayu dan Luqman. Dan ketawa Luqman buat dia semakin keliru.
                “Kenalkan, ini cousin I, Ayu Qharidah. Merangkap PA I. And, ini my wife-to-be, Nurul Rianna.” Luqman ketawa kecil bila wajah Idraki jelas Nampak terkejut. Tentu tidak menyangka yang dia dan Ayu punya hubungan saudara sedangkan ketika berurusan bersama, mereka meletakkan jurang pekerja-majikan antara satu sama lain.
                “Oh… So, Ayu ni cousin you. Selalu macam…”
                “Staff I? Ayu yang mengada – ngada tak nak orang lain tahu.” Jelas Luqman. Ayu yang tunduk sembunyi muka dikerling sekilas. Kemudian, kembali berbual dengan Idraki. Hairan Ayu bagaimana Luqman, Luth dan Idraki boleh begitu cepat mesra sedangkan dia ingin cepat pergi dari lelaki bernama Idraki itu.
                “Okaylah, Id. I’ve to go. Banyak lagi barang nak kena beli. I’ll send you card. Nanti jangan lupa datang ye.” Suara Luqman yang meminta diri melegakan Ayu yang dari tadi diam seribu bahasa. Nafas lega ditarik. Cepat pula dia memaut lengan Rianna agar segera meninggalkan tempat itu. Dia sudah tidak betah berada bersama Idraki lagi. Semput dadanya walau kebanyakkan masa, Idraki langsung tidak menegurnya.
                “Ya, see you. insyaAllah, kalau tak ada aral.” Idraki melambai. Sampai sudah berbual, Marissa masih belum selesai membeli belah di butik mahal itu. Dia mengeluh perlahan. Hajatnya tadi ingin berbicara hati ke hati dengan Ayu tentang mereka. Tentang apa yang telah terjadi, tetapi kehadiran sepupu dan bakal isteri Luqman benar – benar mengganggu ruangnya.
                Idraki melurut rambut yang tersisir kemas. Tekadnya untuk bersemuka dengan Ayu yang sudah lama tertangguh harus dilaksanakan. Walau bagaimana Ayu menolak, dia mesti kuat untuk berjumpa Ayu. Sudah terlalu lama pemasalahan antara mereka terbiar. Kali ini, dia akan pastikan semuanya selesai.
                                                ******************************************
                “Dia suka kau?” Pertanyaan itu mengganggu Ayu yang sedang termenung. Pandangan dialih dari tingkap cermin kereta ke wajah tampan Luth. Dahinya berkerut, tidak faham dengan maksud pertanyaan Luth.
                “Siapa?” Tanyanya semula setelah Luth tidak mempedulikan pandangan penuh tanda tanyanya sebentar tadi. Luth mengerling sekilas sebelum kembali menumpukan perhatian pada pemanduan. Menyusuri jalan di Kuala Lumpur pada waktu cuti begini memang menyesakkan kepala.
                What was his name? Idraki? Dia, suka kau, kan?” Tegas nada suara itu di telinga Ayu. Wajah Luth juga Nampak tegang. Tiada kemesraan walau sebelum ini antara mereka juga jarang mesra.
                “Pandai aje. Orang macam Ayu ni, siapa yang suka?”
                Then, kenapa dia pandang kau macam nak telan? Bukan suka ke tu?” Marah Luth. Dia tak akan lupa renungan tajam Idraki pada Ayu tadi. Aneh renungan itu, bukan pandangan benci, bukan juga marah dan bukan juga renungan sayang. Terlalu aneh pandangan itu hingga dia sendiri jadi keliru untuk menafsir.
                Ayu hanya jungkit bahu. Dia boleh meneka kenapa Idraki merenung dia begitu. Sejak pertemuan kali pertama di syarikat Pak Long dan pertemuan seterusnya, dia sedar Idraki sentiasa cuba membuka ruang bicara antara mereka. Hanya dia yang bijak melarikan diri. Selalunya, Luqman yang dia jadikan alasan untuk tidak berbincang tentang mereka. Tentang peristiwa yang menemukan mereka dan meninggalkan titik noda hitam dalam kehidupannya.
                Luth merengus. Susah sungguh ingin mengorek rasa hati Ayu. Walaupun mereka rapat dengan cara bertengkar hampir setiap hari, namun untuk dia mengetahui perasaan Ayu, memang sukar. Gadis disebelahnya memang cukup berahsia tentang hati.
                “Kalau dia suka Ayu pun, kenapa? Abang marah ke?” Usik Ayu sambil tayang senyum comel. Sengaja dia mengusik Luth yang kelihatan semakin serius dengan jawapan dia sebentar tadi. Tidak mahu suasana suram menemani mereka sepanjang perjalanan balik ini.
                “Sukalah tu. Ada orang suka dia. Aku Cuma tak suka cara dia pandang kau.” Balas Luth selepas menjeling gadis disebelahnya. Kalaulah dia boleh beritahu pada Ayu yang dia memang tidak suka Idraki memandang Ayu begitu. Malah, dia tidak suka mana – mana lelaki pun memandang Ayu.
                Meledak tawa Ayu mendengar jawapan balas Luth. Entah apa – apa aje Luth ni. Orang nak pandang pun boleh suka tak suka. Ayu membetulkan tudung ketika pandangannya bertemu dengan Luth. Reaksi spontan bila dia merasa tidak selesa dengan sesuatu. Reaksi itu menjemput senyum di bibir Luth. Nampak comel sekali di tambah pula dengan ketawa riang Ayu sebentar tadi.
                “Apala, orang nak pandang pun tak boleh ke?” Giat Ayu sebaik ketawanya reda. Dia menggeleng perlahan. Pandang saja, bukan luak pun, walaupun lelaki bernama Idraki itu telah menceroboh kawsan peribadinya.
                Nope. Abang tak suka. Dia nak pandang seribu perempuan macam tu, abang tak kisah. Tapi bukan Ayu. Mana – mana lelaki pandang Ayu macam tu pun, abang tak suka.” Tegas kembali suara Luth. Tersentak Ayu mendengar itu. Sudahlah Luth menukar panggilan lagi, lebih buat dia terkejut, kenapa Luth tidak suka Idraki memandang dia sebegitu?
                “Kenapa?” Ayu ingin kepastian. Namun tiada jawapan dari Luth. Dan sehingga mereka sampai di rumah petang itu, Ayu masih belum punya jawapan untuk soalannya tadi.

No comments:

Post a Comment