Saturday 21 April 2012

Bab 13 : Ingin Kulafazkan Cinta

13.
                Terik cahaya matahari petang tidak mengganggu tumpuan dua sahabat yang sedang bermain tennis. Sejak tiba, sudah beberapa game mereka main tetapi masih tidak mahu berhenti. Letih menghadap kerja sepanjang minggu, kesempatan di hujung minggu dihabiskan dengan bermain sukan kegemaran mereka sejak di bangku sekolah.
                Stop dulu, Id!” Jerit teman yang sudah termengah – mengah mencuri nafas. Kehandalan Idraki bermain tennis memang tidak boleh dipertikaikan. Selalu menjadi juara pertandingan tennis dari sekolah menengah hingga ke peringkat university. Hanya di tahun akhir, Idraki menghentikan sebarang kegiatan luar untuk memberi tumpuan pada pelajarannya.
                Idraki melempar bola yang sudah sedia untuk di pukul ke tepi gelanggang, kemudian dia mendekati sahabatnya yang sudah melabuh duduk di kerusi rehat di tepi gelanggang. Jelas peluh yang menitik di dahi dan bajunya juga sudah lencun dengan air peluh.
                “Baru berapa game ni? Takkan kau dah pancit?” Idraki tidak puas hati. Belum puas rasanya hendak memukul bola. Tuala yang tersidai di kerusi rehat dicapai lalu dia mengelap wajah yang sudah basah dek peluh. Dia turut sama duduk di sebelah temannya itu.
                “Penat aku main dengan kau ni. Asyik kau aje yang menang.” Komen temannya. Idraki ketawa kecil. Penutup botol air mineral dibuka lalu isinya di teguk rakus.
                “Dah lama tak main, bro. Lepas gian.”
                Idraki dan Daniel sama – sama diam selepas itu. Masing – masing melayan perasaan sendiri. Tangan mengelap peluh yang masih berjejeran turun. Sesekali meluang masa dengan aktiviti bersukan mampu melupakan seketika masalah buat Idraki. Dia memandang Daniel yang kini sibuk pula membelek iPhone 4 di tangan. Sms dengan teman wanita agaknya. Sejak tiba di gelanggang ini tadi, Daniel tidak berenggang dari telefon bimbitnya itu.
                “Bro!” Panggil Idraki setelah agak lama dia memerhati Daniel leka dengan iPhone. Sekilas Daniel angkat muka memandangnya dengan kening terjungkit ke atas. Idraki menarik nafas, geram bila Daniel kembali tunduk membelek telefon.
                “Apa? Cuba kau cakap aje terus terang. Macam anak dara nak kena pinanglah kau ni.” Keras suara Daniel bila Idraki masih diam. iPhone yang dari tadi dibelek, diletak disisi, cuba memberi tumpuan pada Idraki pula. Tahu sangat yang Idraki ada masalah. Bukan kosong Idraki mengajak dia bermain tennis petang ini. Terpaksa dia batalkan temujanjinya dengan Dayana.
                “Kau rasa…. Aku patut kahwin ke dengan dia?” Soal Idraki teragak – agak. Muka kacak Daniel dipandang, minta jawapan. Berkerut dahi Daniel sebelum dia rambut yang sudah kusut ke belakang. Kemudian menggosoknya pula bagai orang ada masalah yang maha berat.
                “Siapa? Ayra ke Ayu?” Tanya Daniel kembali. Kadang – kala, dia juga keliru dengan cerita Idraki. Sekejap cerita tentang Ayra, sekejap pula tentang Ayu. Kini, tanpa salam dan mukadimah, Idraki Tanya dia dengan soalan cepumas begitu. hampir terjatuh dia bila Idraki menolak keras bahunya.
                “Kau ni mamai ke apa? Aku kan dah lama break dengan Ayra. Of course lah aku maksudkan Ayu. Kau rasa patut tak?” Tegas Idraki. Geram dengan Daniel yang suka keliru. Tapi, dengan Daniel jugalah dia boleh rapat selain dari Marissa. Daniel tersengih menelan marah Idraki.
                “Saja aku nak test kau…. Sebelum aku jawab, aku nak Tanya, kenapa kau nak kahwin dengan dia?” Daniel bertanya kembali. Idraki menggaru kepala yang tidak gatal dengan soalan itu. Kenapa ye dia ingin berkahwin dengan Ayu?
                “Aku nak bertanggungjawab atas apa yang aku dah buat pada dia. Aku nak tebus dosa. And aku rasa itu je jalan terbaik buat masa ni.” Jawab Idraki. Pandangan dilempar ke sekitar kawasan gelanggang tennis. Mengingati dan berbicara soal Ayu, jiwanya boleh jadi tidak tenteram. Selagi rasa berdosa tidak mampu diusir dari hati, selagi itu dia rasa terseksa dan hati menggelisah.
                “Kau dah khatam belajar ilmu rumahtangga belum? Itu aje alasan kau nak kahwin dengan dia? Boleh kau pastikan, dia bahagia dengan kau nanti? Boleh kau pastikan, rumahtangga kau boleh bertahan lama?” Daniel main psikologi. Bukan dia tidak bersetuju dengan keinginan Idraki untuk mengambil Ayu sebagai isteri. Dia bangga bila Idraki mahu bertanggungjawab atas kesalahannya. Walau pun ketika Idraki menceritakan perihal itu kepadanya, dia menjadi marah. Sungguh dia tidak sangka yang teman baiknya sanggup mencemarkan maruah seorang gadis walhal Idraki yang dia kenal terdidik dengan didikan agama yang cukup. Tetapi, bila Idraki menyatakan kesungguhan untuk bertanggungjawab, hatinya jadi sejuk sendiri. Dan, dia meyokong penuh setiap tindakan Idraki yang mahu menebus dosa.
                “Nak pastikan itu, aku tak berani jamin. Tapi, aku akan berusaha. Aku dah rosakkan hidup dia sebelum ni, takkan lepas kahwin, aku nak tambah rosakkan dia.” Yakin Idraki berbicara. Walau dia masih sangsi dengan bentuk rumahtangga yang mahu dibinanya namun dia tidak pernah terniat untuk merosakkan lagi masa depan Ayu. Padanya, sekali dia mengambil tanggungjawab terhadap Ayu, sehingga akhir hayatlah dia akan cuba mempertahankan tanggungjawab yang digalasnya.
                “Bro… Aku kagum bila kau sanggup bertanggungjawab dengan apa yang kau dah buat. Tak ramai lelaki yang sanggup kahwin dengan perempuan yang dia tak kenal. Lebih – lebih lagi bila perempuan tu sendiri dah tolak tawaran kau. Cuma yang aku bimbangkan, macam mana rumahtangga kau nanti? Sekadar nak bertanggungjawab dan tebus dosa je, macam mana kau nak bahagia? Rumahtangga ni perlukan cinta, kasih dan sayang, bro.” Panjang lebar Daniel memberi nasihat. Dia takut sekiranya langkah yang Idraki ingin ambil ini hanya akan menambah dosa, bukan menebus dosa. Bagaimana kalau Idraki tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami pula selepas mereka bernikah? Bukankah akan ada lebih banyak dosa antara mereka?
                Idraki melepas keluh. Dia sendiri sudah memikirkan semua itu, namun setiap kali fikirannya terarah ke hal itu, cepat – cepat dia menafikan akal yang terfikir hal itu. Padanya, itu semua boleh difikirkan kemudian. Yang penting, Ayu mesti dinikahi segera.
                “Kalau dah kahwin, tentu perasaan tu akan datang sendiri, kan? Orang dulu kahwin pun tak pernah kenal pasangan masing – masing. Okay je, bahagia sampai tua.”
                “Itu orang dulu. Social network tak macam sekarang. Dalam rumah pun orang boleh mengurat bini kau. Maybe perasaan tu akan datang sendiri. Tapi, what if its too late? Baru kau nak cintakan dia, dia dah ada orang lain. Masa tu, sanggup kau ceraikan dia?” Daniel menyangkal lagi. Kalau Idraki mahu berkahwin, biarlah perkahwinan itu kekal dan bahagia. Bukannya seperti kebanyakkan artis sekarang. Berkahwin sekejap, lepas itu bercerai berai. Eh? Kenapa tiba – tiba dia kaitkan soal nikah kahwin Idraki dengan penceraian artis?
                Kali ini, Idraki terdiam. Benar juga. Tidak mustahil kalau tiada cinta dalam rumahtangga mereka, Ayu mudah dipikat oleh orang lain. Walaupun dia tidak cintakan Ayu. Tetapi sanggupkah dia sebagai suami membiarkan isterinya dipikat oleh lelaki lain? Lebih teruk, jika itu benar – benar berlaku, sanggupkah dia melepaskan Ayu ketika itu? Tapi, jika dia tidak berkahwin dengan Ayu, bagaimana dengan kehidupan gadis itu kelak? Akan ada lagikah lelaki yang mahu memperisterikan Ayu jika mereka tahu keadaan Ayu yang sebenarnya? Sedangkan, dialah lelaki yang bertanggungjawab merosakkan hidup gadis itu.
                “Tapi…. Aku tak boleh biarkan dia macam tu, Niel. Aku mesti bertanggungjawab.” Idraki masih mahu mempertahankan hujahnya. Padanya, dengan mengahwini Ayu, segala rasa bersalah yang bergayut di hatinya akan hilang. Apa yang bakal terjadi pada rumahtangga itu nantinya, akan difikirkan kemudian. Bila waktu itu tiba.
                “Sukahati kau lah, bro. Aku dah bagi pendapat. Memang baik kalau kau ambil dia jadi isteri, tapi kau kena pastikan yang kau tak sia – siakan dia. Yang lain tu, kau serahkan aje pada Allah.” Daniel menepuk bahu Idraki beberapa kali. Temannya itu terangguk – angguk.
                Next week kau ikut aku.”
                “Pergi mana?”
                “Makan kenduri.” Pendek jawapan Idraki. Dia bangun dan meregangkan otot – otot yang terasa sedikit kejang. Sudah lama tidak bersenam, beginilah jadinya. Daniel yang mengerut dahi tidak dipeduli. Tentu sahaja temannya itu hairan kerana berada dalam majlis dan ramai orang begitu , memang bukan kesukaan Idraki setahunya.
                Are you serious? Makan kenduri? You?” Tanya Daniel, hairan.
                “Yup. Kalau kau nak kenal this girl. Better ikut aku that day.” Pancing Idraki. Dia tahu, Daniel sangat teringin untuk kenal dengan Ayu walau Daniel tidak menyatakan dengan perkataan.
                Really?” Bagai ada sinar dalam mata Daniel ketika mendengar kata – kata Idraki. Memang dia teringin untuk kenal dengan Ayu yang selalu disebut Idraki. Gadis yang Berjaya buat Idraki tewas. Tewas dalam segala – galanya.
                But how? Dia nak kahwin dah?”
                “Kau ni memang blur lah. Kalau dia dah nak kahwin, tak adanya aku nak fikirkan pasal dia. Her cousin’s wedding. So, she must be there. Kalau kau nak kenal, jom ikut aku.” Idraki masih cuba memancing. Terasa janggal pula kalau dia ke majlis kahwin Luqman sendirian. Nak bawa ayah dan mama? Rasa tak sesuai pula. Nak bawa si kembar Ila dan Ima? Lebih tak sesuai. Nanti macam murai tercabut ekor dua orang adiknya itu bertanya. Dia sendiri sebenarnya tidak berapa suka berada dalam majlis seperti itu. Bersesak – sesak walau dalam dewan yang dingin dengan penghawa dingin memang bukan pilihannya. Namun, bila difikirkan itulah kesempatan dia untuk berkenalan dengan ibu bapa dan keluarga Ayu, dia gagahkan juga dirinya untuk menghadiri majlis tersebut.
                “Okay, set. Aku memang dah lama nak kenal bakal isteri kau ni.” Daniel mengusik. Dia bangun dari duduknya dan mengikut Idraki yang sudah mula mengorak langkah ke bilik persalinan. Hari sudah petang benar, dia pula belum lagi menunaikan solat Asar. Rasanya cukuplah mereka bermain tennis untuk hari ini.
                “Bakal isteri?” Idraki menoleh pada Daniel disebelahnya. Senyuman sumbang terukir dibibir lalu kepala digelengkan. Entah jadi atau tidak, dia belum tahu. Yang dia tahu, dia akan cuba sehabis baik untuk pujuk Ayu agar setuju jadi isterinya.
*************************************
                Dulang yang sudah berhias cantik dengan sepersalinan baju kurung diatasnya Ayu susun di sudut ruang bilik pengantin. Bibirnya menguntum senyum melihat susunan dulang hantaran yang baru siap dikerjakannya. Hampir dua minggu juga dia ambil masa untuk siapkan gubahan hantaran seperti yang diminta oleh Luqman. Hasil kerjanya memang cukup menjadi. Setiap sentuhannya pasti akan membuahkan hasil yang menarik. Sebab itulah agaknya Luqman beriya – iya menyuruh dia menggubah hantaran untuk perkahwinannya walau dia berkeras mengelak. Sampaikan Luqman sanggup memberi upah untuk setiap gubahannya. Bukan upah yang dia tagih, bukan juga kerana dia tidak mahu membantu abang sepupunya itu tetapi kerana dia sudah lama tidak buat kerja seni seperti ini. Dia takut hasilnya tidak secantik seperti yang diinginkan oleh Luqman. Setelah puas dipujuk oleh Puan Rashidah barulah dia bersetuju dengan permintaan Luqman.
                Nice. Hasil kerja kau memang tak pernah mengecewakan.” Terdengar suara Luth ketika dia masih sibuk membelek apa yang kurang dengan hasil kerjanya. Ayu berpaling ke arah suara itu. Matanya tertangkap susuk tubuh tegap Luth yang bersandar di pintu bilik pengantin. Itu dia, Luth memang suka buat posing begitu. Gaya lelaki macho dan penuh karisma. Terbit senyuman di bibir Ayu ketika lelaki yang Berjaya mengocak jiwanya mengatur langkah menghampiri dia di sudut bilik itu.
                “Macam mana kau dapat idea nak gubah jadi macam ni?” Luth bertanya lagi. Mata bulat Ayu direnung dalam. Rindu pada sepasang mata bulat itu. Rindu pada suara membentak Ayu setiap kali dia mengenakan gadis itu. Lebih – lebih rindu pada gelak tawa dan senyuman manis di bibir Ayu setiap kali mereka bergurau. Apatah lagi, dia baru sahaja pulang dari berkursus di Pulau Langkawi semalam.
                “Tengok buku.” Usik Ayu. Berderai ketawanya saat Luth membuntang mata tanda geram dengan jawapan itu. Namun kemudian, ketawanya mati saat matanya melihat senyuman menggoda yang diukir Luth. Cepat – cepat dia mengalih pandangan, pura – pura membetulkan susunan dulang. Takut pada debaran yang menggila di dadanya. Dia sedar, walau macam mana berkocaknya jiwanya setiap kali berhadapan dengan Luth, dia tidak boleh memberi sebarang perasaan pada Luth. Dia tidak sesuai untuk Luth. Dia sudah tidak layak untuk Luth malah untuk semua lelaki pun.
                “Bila abang balik?” Tanya Ayu buat memecah kesunyian. Bertambah berdebar dadanya bila Luth sengaja mendekat bila dia cuba menjauh.
                “Semalam. Late night. Abang ingat Ayu ada kat balkoni masa abang balik. Tapi….” Luth tidak menghabiskan bicara. Dia terpegun dengan harumnya tubuh Ayu yang didekatinya. Luruh rindunya bila dapat melihat wajah bersih Ayu dan dia benar – benar sedang cuba menahan diri dari memeluk gadis dihadapannya.
                “Err… Ayu busy nak siapkan hantaran Abang Luq ni. Tak ada masa nak lepak – lepak kat balkoni. Lagipun…” Ayu melarikan diri dari Luth yang semakin menghampiri. Lain benar Luth malam ini. Selalunya Luth sentiasa menjaga jarak antara mereka tetapi malam ini, Luth kelihatan sangat berbeza.
                “Lagipun?” Luth ukir senyum. Sedar dengan ketelanjuran dia cuba mendekati Ayu. Terhibur dengan gelagat Ayu yang asyik melarikan diri. Dia harus mengawal diri. Sampai masa, dia akan pastikan, Ayu akan menjadi miliknya.
                “Err… Tak ada apalah. Ayu keluar dulu. Tak elok kita berduaan macam ni.” Ayu cuba melarikan diri. Ketika kakinya ingin menghala ke pintu, lengannya ditarik Luth.
                Don’t you miss me?” Luth hampir berbisik. Tersentap jantung Ayu mendengar soalan itu. Lebih tersentap bila Luth berani memegang lengannya. Walaupun berlapik, namun dengan keadaan mereka yang berduaan di dalam bilik begini, rasanya sangat tidak sopan perbuatan Luth. Walaupun pintu bilik terbuka luas, namun jika ada yang Nampak, tentu jadi buah mulut orang.
                “Kalau abang nak berborak dengan Ayu, kita keluar dulu. Tak manis macam ni.”
                Sorry. I didn’t mean it.” Luth melepaskan pegangannya. Sedar dia terlanjur lagi. Ah, kenapa dia terlalu rindukan Ayu?
                “Ha! Apa yang kau berdua buat dalam bilik ni? Nak beromen?” Suara bak petir yang tiba – tiba muncul di muka pintu membuat jantung Ayu luruh. Tersentak, sekaligus merobek hatinya. Dia memejam mata, cuba mencerna kata – kata pedih itu dan bersedia untuk lebih banyak kata – kata nista yang akan diterima.
                “Kami berbual kosong aje, Mak Lang.” Luth terlebih dahulu menjawab. Dia segera melangkah menghampiri wanita yang dipanggil Mak Lang. Demi Ayu, dia harus menangkis serangan dari mulut bisa wanita itu.
                “Berbual dalam bilik? Rumah besar macam ni, kau boleh berbual dalam bilik? Apa nak jadi dengan kau ni, Ayu? Dah gatal sangat ke?” Mak Lang memandang Ayu dan Luth silih berganti. Sakit hati dan meluat melihat Ayu baik dengan Luth. Sakit hati melihat layanan baik yang diterima Ayu dirumah mewah ini. Lebih sakit hati bila Ayu pasti akan mendapat sokongan abangnya setiap kali dia cuba merendahkan anak buahnya itu.
                “Kebetulan masa Luth lalu sini tadi Ayu ada kat dalam bilik. Luth Cuma tegur. Tak salahkan Mak Lang. Lagipun, pintu bilik ni terbuka luas.” Luth masih cuba mempertahankan dirinya dan Ayu. Demi Allah, tiada sedikit pun niatnya ingin mengapa – apakan Ayu. Dia sayang Ayu lebih dari seorang adik. Dan kerana sayang, sudah tentu dia ingin melindungi Ayu dari sebarang perkara tidak elok.
                “Huh! Sebab terbuka tu lah yang aku sempat nak tengok kau orang. Kalau aku tak lalu sini tadi, entah apa – apa aje yang Ayu cuba buat. Kau bukan tak tahu perangai dia ni.”
                “Mak Lang! Kami berbual aje. Tak buat apa – apa pun.” Ayu mencelah. Tidak sanggup lagi mendengar Mak Lang merendah – rendahkan dia sejak wanita itu tiba di rumah ini dua hari lalu.
                “Apa yang bising – bising ni? Sampai ke bawah dengar suara kamu, Piah. Apa halnya ni?” Encik Saiful muncul entah dari mana. Ketika itu, Ayu tidak tahu sama ada nafas yang dihelanya terasa lega atau semakin sempit. Encik Saiful selalu menjadi penyelamatnya. Tapi, sekarang ini dia dituduh berdua – duaan dengan Luth, anak Pak Long. Masih lagikah Pak Long akan membelanya?
                “Ni, Along tengok anak buah Along ni. Tak sudah – sudah nak cari pasal. Along biarkan sangat. Sampai dalam rumah Along dia dah berani nak menggatal.” Adu Sufiah, Mak Lang Ayu dan Luth. Berkerut dahi Encik Saiful. Ayu dan Luth dipandang silih berganti, cuba mencari jawapan.
                “Tak, ayah. Luth lalu sini tadi, Luth Nampak Ayu tengah susun dulang tu. Luth Cuma tegur Ayu dan borak – borak. Tak buat apa – apa yang tak elok pun. Pintu bilik pun terbuka luas, ayah.” Luth terlebih dahulu membuka mulut. Bimbang perasaan Ayu terluka. Sudah banyak benar Puan Sufiah menyakiti hati Ayu sejak kedua ibu bapa Ayu meninggal dunia.
                Pandangan mata Encik Saiful dialihkan pula pada Ayu. Meminta penjelasan dari pihak Ayu, walau dia sedar kata – kata sama akan keluar dari bibir Ayu.
                “Betul, Pak Long. Kami Cuma borak kosong je. Baru sekejap aje abang Luth masuk bilik dan kami dah nak keluar dah pun.” Ayu mengiyakan. Memang mereka tidak berniat serong berada dalam satu bilik. Hanya ingin berbual – bual setelah agak lama tidak berkesempatan berbuat begitu. Cuma mungkin mereka salah memilih tempat.
                Encik Saiful menggeleng kepala perlahan. Dia kenal Ayu dan lebih kenal pada anaknya. Hampir setahun Ayu tinggal di rumah ini, tiada perkara buruk yang dilakukan Ayu. Malah, dia bangga bila melihat perubahan positif Ayu. Sejak bertudung, gadis itu semakin menjaga adabnya sebagai seorang gadis.
                “Nasib baik Alang  cepat sampai sini, Long. Kalau tidak tadi, tak tahulah apa pulak yang dibuatnya. Itupun tadi Alang Nampak dah berdiri dekat sangat.” Puan Sufiah menambah perisa. Buntang mata Luth mendengarnya. Memang jarak mereka agak dekat tapi tidaklah terlalu dekat. Masih ada jarak jurang yang tidak memungkinkan dia mengapa – apakan Ayu.
                “Mak Lang jangan nak buat cerita. Luth masih tahu jaga diri.” Bentak Luth. Tak perlu difikirkan dengan siapa dia bercakapa kini. Wanita ini juga cukup lancang mulutnya. Dia merenung Ayu. Simpatinya tumpah ketika melihat Ayu sudah terdiam seribu bahasa.
                “Kau tu mungkinlah tahu nak jaga diri. Tapi budak ni? Suka ambil kesempatan.” Marah Puan Sufiah lagi. Matanya mencerlung marah pada Ayu.
                “Sudah – sudahlah tu, Alang. Aku tahu Ayu ni macam mana. Sejak dia duduk sini, tak pernah dia buat benda tak elok. Kebetulan aje Luth masuk bilik ni tadi. Ayu ni pun tengah sibuk nak siapkan hantaran Luqman. Apa yang kamu marahkan sangat ni?” Encik Saiful cuba meredakan keadaan yang semakin tegang. Puan Rashidah yang baru tiba, tercengang – cengang dengan pergaduhan itu. tidak faham pokok pangkal cerita. Dia hanya diam dan memerhati.
                “Itulah Along. Bila Alang cakap, semua tak percaya. Besok – besok, budak ni mengandung anak luar nikah, padan muka Along. Time tu, mana Along nak sorok muka?”
                Beristighfar panjang Encik Saiful mendengar bicara itu. Adiknya itu memang sudah melampau. Sejak ibu bapa Ayu meninggal, Sufiah dan Aisyah, adik bongsunya bagai bermusuh pula dengan Ayu. Entah apalah yang buat dia adiknya itu tidak puas hati dengan Ayu.
                “Cuba bawak mengucap, Piah. Kau bercakap macam mendoakan pulak. Kan elok kalau kau cakap benda yang elok – elok. Ini sampai mengandung anak luar nikah, apa kena dengan kau ni?” Encik Saiful sudah marah. Tak habis – habis adiknya ini. Lancang sungguh mulutnya hingga sanggup memperkatakan sesuatu yang buruk.
                “Huh! Kalau aku memang semuanya yang tak betul, kan? Kau tengoklah nanti, Long. Budak ni, depan orang aje tunjuk baik. Kat belakang, entah apa – apa yang dibuatnya. Pakai tudung konon, berlakon baiklah tu!” Puan Sufiah berlalu dari ruangan itu dengan mulut yang masih menceceh entah apa – apa. Terkedu sungguh Ayu mendengar setiap kata nista Mak Langnya. Sungguh, tidak pernah terniat dihatinya untuk melakukan perkara terkutuk. Dia ingin menjadi muslimah sejati. Walau maruahnya sudah tercemar namun dari kekhilafan dululah, dia menjadi insan yang sentiasa muhasabah diri. Tidak mahu lagi tersilap langkah seperti masa dahulu.
                “Pak Long, Mak Long. Ayu minta maaf. Tak ada niat nak buat benda tak elok. Lebih – lebih lagi dalam rumah Pak Long. Ayu salah tadi, tak patut berdua dalam bilik Abang Luqman.” Ayu segera meminta maaf. Walau Encik Saiful membelanya tadi tetapi dia tahu sedikit sebanyak, tentu Encik Saiful juga sangsi dengan perbuatan dengan Luth.
                “Kenapa ni, Ayu? Luth?” Puan Rashidah mendapatkan Ayu. Bahu anak saudaranya itu dipeluk. Cuba mententeramkan Ayu yang sudah berwajah sedih. Air mata juga sudah bertakung di mata. Menunggu masa untuk mengalir ke pipi.
                “Salah Luth, ayah, ibu. Luth yang masuk bilik tu walaupun Luth tau Ayu seorang dalam bilik.” Luth mempertahankan Ayu. Semua ini salahnya. Dia yang terlupa tentang di mana mereka berada. Dia yang alpa tentang keadaan sekeliling. Dia juga yang terlalu ingin menemui Ayu tanpa menghiraukan jika keadaan mereka boleh menimbulkan fitnah.
                “Apa yang Luth buat, memang salah. Walaupun dalam rumah sendiri, tapi tadi tu dah mengundang fitnah pada kamu berdua. Ayah percaya pada kamu, pada Ayu, tapi bukan semua percaya. Lain kali berjaga – jaga. Think, before you take action.” Pesan Encik Saiful sambil menepuk – nepuk bahu Luth. Melihat pada cara dan gaya Luth, dia boleh menduga. Dia juga pernah muda. Dapat di rasa yang Luth menyayangi Ayu lebih dari seorang sepupu. Tapi, dia tidak mahu menuduh sebarangan. Jika benar telahannya, biarlah Luth sendiri yang membuka mulut. Selepas itu, akan diuruskan sebaiknya. Selagi Luth tidak membuka mulut, dia hanya akan mengawal setiap gerak geri anak dan anak saudaranya itu.
                “Ibu kan dah banyak kali pesan. Jangan tingkah laku kamu. Kamu dengan Ayu bukan mahram, boleh kahwin. Sekarang, apa dah jadi. Jangan sampai Mak Lang dengan Mak Su kamu boleh buat cerita bukan – bukan macam ni lagi. Ingat tu, Luth? Ayu?”
                Luth dan Ayu serentak mengangguk. Ceramah percuma di luar bilik pengantin itu mengundang insaf di hati Ayu. Kenapa dia boleh alpa? Kenapa dia tidak peka dengan keadaan sekeliling? Setitik air matanya jatuh mengenai pipi. Luth yang melihat, rawan jadi hatinya.
                “Maafkan Ayu, Mak Long, Pak Long. insyaAllah, Ayu lebih berjaga – jaga lepas ni.” Ujar Ayu perlahan. Malu pada Pak Long dan Mak Long dengan perbuatannya. Malah, dia lebih malu pada Allah kerana walau telah berkali – kali memohon taubat, dia masih mengulang berbuat dosa.
                “Sudahlah. Jangan menangis. Mak Long hanya mengingatkan. Ayu tu anak dara, memang tak elok kalau orang tahu cerita – cerita begini. Lain kali, jangan ulang lagi.” Puan Rashidah mengusap perlahan bahu Ayu yang masih dipeluknya. Terangguk – angguk anak saudaranya itu. perlahan juga dia mengesat air mata yang masih mengalir turun di pipi mulus Ayu. Cuba memujuk dalam senyap.
                “Dah lewat ni. Ayu pergilah tidur. Tadi dah penat nak siapkan hantaran Abang Luq. Esok masih ada kerja lagi. Shida, pergilah tidur sekali.” Encik Saiful mengarah setelah Ayu berhenti menangis. Puan Rashidah mengangguk. Dengan lembut, dia mengajak Ayu masuk tidur. Memang benar, gadis itu sudah terlalu penat. Bukan sahaja bertungkus lumus menyiapkan hantaran Luqman, malah turut sama membantu segala kerja lain. Maklum sahaja, esok mereka akan berangkat ke Kuala Selangor untuk urusan pernikahan Luqman dan Rianna. Setelah itu, pada minggu hadapan, mereka akan sibuk pula dengan majlis resepsi di Hotel Pullman, Putrajaya.
                “Ayu masuk tidur dulu, Pak Long, Abang Luth. Assalamualaikum.”
                “Luth pun nak masuk tidur dulu, ayah.” Luth segera meminta diri. Tidak mahu Encik Saiful menyambung ceramah kepada dia pula.
                “Luth. Ayah nak cakap sikit dengan kamu. Jom, kita ke balkoni.” Encik Saiful menepuk bahu Luth. Anaknya mengangguk perlahan dan mengikut langkah Encik Saiful. Dia sudah dapat meneka apakah yang ingin dibicarakan oleh ayahnya.
                “Ada apa, ayah?” Tanya Luth sebaik mereka melabuh punggung di kerusi rotan di balkoni. Teringat pula dengan kegemarannya mengusik dan mengenakan Ayu di lokasi ini.
                “Lain kali jangan buat macam itu, tak baik. Kamu kena jaga nama baik ayah dan ibu. Nama baik kamu dan lebih penting, jaga nama baik dan maruah Ayu. Dia perempuan, senang difitnah dan senang orang lain nak pandang serong.” Encik Saiful memulakan ceramah. Walau dia tahu Luth berupaya menjaga diri tetapi sebagai orang tua, dia tetap harus sentiasa memberi nasihat.
                “Luth tahu, ayah. Luth tersilap tadi. Lupa kat mana kita orang masa tu dan lupa yang Mak Lang dan Mak Su ada kat sini.”
                “Jangan difikirkan orang lain. Yang penting kamu mesti sentiasa ingatkan diri kamu. Hrmm… ayah nak tahu dan ayah harap kamu jujur.” Tunak mata Encik Saiful memandang anak terunanya. Tersentak Luth. Soalan apa yang ingin ditanyakan oleh ayahnya? Nampak begitu serius dan tiada segaris senyuman pun di bibir ayahnya itu.
                “Apa yang ayah nak tahu?” Soal Luth dengan debar di dada. Hatinya berdoa agar janganlah ayahnya bertanya tentang Ayu. Dia masih belum bersedia untuk memberitahu pada sesiapa pun tentang rasa hatinya terhadapa Ayu.
                “Kamu dengan Ayu tu, ayah tengok rapat semacam. Ada apa – apa ke?” Soalan itu membuat Luth menggaru kepala. Bagaimana ingin dijawab? Dia sudah tentu sahaja punya perasaan terhadap Ayu. Tapi dia tak tahu di pihak Ayu bagaimana. Kadang – kala Ayu kelihatan sangat sayangkan dia namun kebanyakkan masa, Ayu lebih banyak menjarakkan hubungan mereka.
                “Tentulah rapat, ayah. Dia kan sepupu Luth, tinggal serumah pulak. Dengan Along dan Qays pun Ayu rapat jugak kan.” Luth berdalih.
                “Tapi cara kamu berdua ni tak macam sepupu. Kadang – kadang bertengkar macam musuh, kadang – kadang baiknya macam laki bini. Ayah ni dah tua, dah lalu semua benda tu. Please be honest, Luth. You like her, don’t you?” Tebak Encik Saiful. Dan Luth melepas nafas berat. Pandangan dilarikan dari wajah ayahnya. Dia leka memerhati bintang di langit. Hatinya galak ingin menjawab iye, tapi akal melarang. Risau dengan penerimaan ahli keluarganya dan tidak pasti dengan hati Ayu sendiri.
                Of course, ayah. Dia adik sepupu Luth. Takkan Luth tak suka dia..” Luth ketawa kecil. Cuba menutup resah di hati. Parah dia kalau Encik Saiful bertanya lebih dalam. Tangannya melurut rambut ke belakang. Resah dan gelisah bersatu.
                “Bukan suka yang itu yang ayah maksudkan. Kamu suka dan sayangkan dia lebih dari sepupu, kan? You’re falling with her, don’t you?
                Luth bangkit dari kerusi. Dia berdiri di penghadang balkoni dan melepaskan pandangan jauh ke gelap malam. Soalan yang paling dia takut telah diutarakan oleh Encik Saiful. Sekarang, bagaimana dia ingin menjawab? Berterus terang atau terus berdalih. Kusutnya fikiran untuk menjawab.
                From the way you treated her, from the way you look at her, ayah dah tahu, Luth. Ayah hanya ingin kepastian. Apa betul yang ayah Tanya ni?” Encik Saiful menghampiri Luth. Berdiri di sebelahnya dan sama – sama merenung kepekatan malam. Lama baru terdengar Luth mengeluh. Mungkin ada baiknya jika dia mengakui sahaja rasa hati.
                I’m sorry, ayah. I can’t help it. Ia datang…. Naturally. Luth sendiri tak sedar bila semuanya bermula.” Akui Luth. Tak guna jika dia terus berdalih. Encik Saiful sudah boleh Nampak semuanya. Dan, rasanya ini masa terbaik untuk dia mengambil langkah seterusnya dalam hubungan dia dengan Ayu. Terasa bahunya ditepuk perlahan, dia mengalih pandang. Wajah Encik Saiful dipandang dengan pandangan keliru. Senyuman Encik Saiful Nampak lain benar ketika ini.
                Don’t apologise. Tak salah kalau kita jatuh cinta. Kamu dan Ayu dibolehkan berkahwin. Tak salah walau Islam tak menggalakkan.”
                Then, ayah setuju kalau Luth….” Mati kata – kata Luth. Kalau dia apa? Meminang Ayu? Sedangkan Ayu belum tahu tentang perasaannya pada gadis itu. Anggukan Encik Saiful buat Luth bernafas lega.
                “Kalau kamu serius, ayah boleh uruskan. Jangan buat macam tadi. Dah timbul fitnah pada kamu berdua. Ayah lebih suka kalau kamu ambil jalan yang betul. Jaga maruah kamu, keluarga dan juga Ayu sendiri. Ayah dan ibu boleh pinangkan kalau kamu dah bersedia nak jadi suami. Ayu bagaimana?“
                “Eh, nanti dulu ayah. Cepat sangat ni. Luth… Luth… Err… Ayu belum tahu pasal hal ini.” Luth menggaru kepala. Tiba – tiba keyakinannya hilang bila terkenangkan Ayu. Dari pemerhatiannya, Ayu sangat beku pada perasaan seorang lelaki. Terlalu menjaga jarak hubungan mereka dan dingin bak ais bila dia cuba memberi petunjuk tentang perasaannya.
                “Belum tahu?”
                “Err… Ya. Luth tak pernah beritahu dia and dia pun layan Luth macam biasa je. Nothing special. At least, tunggu hingga Luth beritahu dia tentang perasaan Luth.” Pinta Luth sungguh – sungguh. Dia tidak mahu terburu – buru. Masih banyak masa kerana Ayu masih tidak punya siapa siapa. Tidak pernah dia tahu Ayu ada teman lelaki. Ada tak ada pun, hanya kawan lelaki yang menghantar Ayu balik lewat malam sedikit waktu dulu.
                Encik Saiful mengangguk kepala. Cuba memahami kehendak Luth. Tapi hatinya masih risau. Ayu seorang gadis yang cantik. Bertambah cantik dengan perilakunya yang sopan santun. Sejak bertudung, memang dia sedar perubahan Ayu. Sentiasa menjaga adab dan batas pergaulannya. Di pejabatnya itu, ramai yang meminati Ayu. Malah, ada juga pelanggan yang cuba masuk jarum untuk mengurat Ayu. Bukan dia tidak Nampak semua itu, Cuma dia buat tidak kisah kerana percaya Ayu pandai menjaga diri. Apa yang dia bimbangkan adalah tentang pelanggan terbesarnya ketika ini. Idraki. Dia tahu, Ayu keluar dengan Idraki sedikit masa dulu. Dia juga tahu, Idraki menarik Ayu keluar dari pejabatnya petang itu. Cuma, dia tidak mahu bertanya Ayu lebih – lebih. Asalkan Ayu pandai menjaga diri, dia tidak akan menghalang.

No comments:

Post a Comment