Wednesday 30 October 2013

Kerana Kamu 11



11.
                “Dua minggu lagi kami akan pindah.” Serentak tiga pasang mata memandang ke arah Haris, terkejut. Dhamirah lebih terkejut. Kami? Maksudnya dia juga terlibat sama? Perlahan matanya beralih ke wajah Datuk Hamdi dan Datin Marina. Masih jelas terkejut di kedua raut wajah yang semakin di mamah usia itu. Kemudian, pandangan dialihkan kembali ke wajah tampan Haris. Tertanya – Tanya tentang rancangan Haris ketika ini. Tidak pernah walau sekalipun Haris membuka mulut tentang perkara ini. Ah, nak berbicara dengan dia pun Haris tidak sudi, inikan pula untuk berbincang tentang perkara sebesar ini.
                “Apa maksud kamu ni, Haris?” Datin Marina akhirnya membuka mulut bertanya setelah keadaan sunyi sepi dek pernyataan Haris tadi. Rancangan telefilem yang sedang disiarkan di kaca televisyen tidak lagi menarik minatnya. Tumpuannya kini hanya pada penerangan Haris tentang perkara pindah rumah ini.
                “Haris nak pindah rumah, mummy. Kami nak cuba hidup berdua. Nak cuba berdikari.” Tenang Haris memberi penjelasan. Sekilas dia mengerling Dhamirah. Terkebil – kebil mata bundar itu merenungnya. Mungkin tidak percaya dengan kata – katanya sebentar tadi.
                “Apa, dekat rumah ni kamu tak boleh berdikari? Kami tak bagi kamu ruang privacy ke?” Sedikit tegas suara Datin Marina. Tidak bersetuju dengan rancangan anak dan menantu. Apa lagi, Haris tidak pernah berbincang dengan dia. Datin Marina mula merasakan akan kehilangan satu – satunya anak lelakinya itu.
                “Bukan macam tu, mummy. Kami Cuma nak cuba hidup berdua. Bagilah peluang untuk Ris dan Mira kenal satu sama lain. Ayah dan mummy nak kami berbaik, kan?” Tenang jawapan dari Haris, namun Dhamirah sudah terkedu. Nak kenal satu sama lain? Biar betul Haris berkata begitu. Ingin berbaik? Matanya masih pegun pada wajah tampan itu. Cuba mencari kebenaran dari wajah yang mempamer wajah tenang seolah perkara sebesar ini tidak mengganggu fikirannya langsung. Tetapi, bila mata tajam Haris turut memandang dia, wajahnya terus ditundukkan. Resah dan gelisah
                “Apa masalah kalau kamu berdua nak kenal, nak berbaik dalam rumah ni? Rumah besar ni, hanya berapa orang je yang ada. Sudahlah Jasmine study jauh dekat Penang sana, kamu pulak nak berpindah. Mummy tak setuju.” Datin Marina membentak. Kalau boleh, dia tidak ingin jauh dari anak – anaknya. Rumah agam ini ada banyak bilik, Haris dan Dhamirah boleh pilih mana – mana bilik kalau bilik mereka sekarang tidak privacy bagi mereka.
                “Mummy… please understand us. Kami perlukan ruang kami sendiri untuk berkenalan, berbaik and jadi suami isteri macam yang mummy and ayah nak. Mummy nak cucu, kan?” Ayat terakhir Haris buat Dhamirah tersedak. Jantungnya sudah berubah tempo, takut pula bila dengar perkataan cucu dari mulut Haris. Biar benar Haris ingin berikan mummy cucu. Nak sentuh dia pun, Haris tak pernah sudi, macam mana mummy nak rasa ada cucu? Rasa nak tercabut jantungnya bila Haris dengan selamba memeluk bahunya.
                “Kat sini kamu tak boleh bagi kami cucu?” Masih tidak bersetuju, Datin Marina bertanya soalan yang buat Dhamirah semakin tidak senang duduk. Kenapa dari soal pindah rumah, kini bertukar jadi soal cucu pula? Tersentak Dhamirah bila Haris menolak bahunya. Dia menoleh, memandang wajah itu dan dari wajah Haris, dia tahu Haris ingin dia berkata sesuatu. Pandangan dialihkan pula kea rah Datin Marina yang berwajah ketat dan terakhir kea rah Datuk Hamdi yang masih khusyuk menonton TV. Tanpa sedar, Dhamirah menggaru kepala yang tidak gatal. Apa yang ingin dia katakan? Hubungan dia dengan Datin Marina baru hendak pulih. Dia takut jika dia tersalah cakap, Datin Marina lancarkan perng dingin kembali.
                “Kamu setuju ke, Mira?” Datin Marina bertanya Dhamirah yang senyap sejak tadi. Dari sinar mata menantunya itu, dia tahu Dhamirah serba salah dengan semua ini.
                “Mira ikut je mana abang Haris nak bawa Mira, mummy. Kalau dia nak pindah, Mira pindah jugaklah.” Dhamirah ambil jawapan selamat. Tapi, memang itu kebenarannya kan. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Jadi, kemana pun Haris ingin bawa dia, dia kena akur.
                “Sejak bila pulak kamu sependapat dengan Haris ni?” Garang Datin Marina bertanya. Dhamirah tayang sengeh. Jawapan apa lagi yang dia nak bagi? Sedangkan Haris tidak pernah ingin berbincang dengan dia sebelum mengusulkan benda ini kepada ibu bapanya.
                “Ayah?” Haris mengalihkan tumpuan ke arah Datuk Hamdi yang senyap sejak tadi. Haris tahu, ayahnya itu lebih rasional dalam menghadapi sebarang situasi. Yang lebih penting, hanya ayahnya yang tahu macam mana nak handle degil mummynya itu.
                “Dah fikir habis ke nak pindah ni? Kat sana, kamu berdua je, serba serbi kena uruskan sendiri. Tak ada Mak Ton nak tolong buat itu ini.” Datuk Hamdi bertanya tenang. Dia mencapai remote control dan mematikan siaran televisyen. Masanya untuk berbincang dengan serius.
                “Insya Allah, ayah. Lagipun, Mira ni dah jadi isteri orang. Kenalah belajar uruskan rumahtangga. Takkan selamanya nak harapkan orang lain.” Bidas Haris membuatkan Dhamirah berpaling menatap Haris. Amboi, sesedap mulut aje dia nak kenakan aku, ingat aku tak reti nak uruskan rumah ke? Dhamirah membebel di dalam hati. Dah kenapa pula dia yang disasarkan sedangkan Haris yang mulakan isu ini.
                “Apa Mira pulak?” Tanpa sedar, Dhamirah terlepas kata. Spontan Haris memandangnya tajam. Mungkin mahu Dhamirah diam dan hanya mengikut rentak permainannya.
                “Betullah, kemas bilik pun tak bersih. Entah-entah semua tu Mak Ton yang buat.” Balas Haris sinis. Terlopong Dhamirah dengan kata – kata itu. Dia yang penat setiap hari mengemas bilik besar itu, sekarang Haris tuduh dia tak buat kerja pulak?
                “Fine.” Dhamirah memeluk tubuh. Malas mahu melayan kerenah Haris. Lepas ni, jawab sendiri dengan mummy dan ayah. Bentaknya, tapi hanya dalm hati saja. Tak berani nak melawan Haris lebih lebih. Nanti mengamuk pula suami ‘kesayangannya’ ini.
                “Sudah… ayah tanya untuk kamu jawab. Bukan untuk kamu bergaduh. Kamu ni pun Haris, macam budak-budak. And, hal urusan rumahtangga bukan tanggungjawab Mira seorang. Lebih berat atas bahu kamu tu sendiri. Kat rumah ni pun kamu boleh tak kisahkan Mira. Bila hidup sendiri nanti, entah macam mana pulak kamu layan Mira.” Panjang lebar Datuk Hamdi berceramah. Datin Marina hanya mengangguk tanda setuju. Haris melepas keluh. Sekali lagi dia menolak bahu Dhamirah, mahu isterinya itu menjawab kata-kata Datuk Hamdi. Dia tahu, ayahnya itu lebih berlembut dengan Dhamirah berbanding dengan dirinya sendiri. Namun, Dhamirah buat tidak peduli. Berkali-kali Haris menolak bahunya tetapi Dhamirah tetap buat bodoh. Protes! Ini buatkan Haris menjeling tajam.
                “Ayah, kan Ris dah cakap.. kami nak pindah sebab kami nak saling mengenali. Nak berbaik dan nak cuba baikkan hubungan kami. Kat sini, bukan tak boleh… it just…” Haris kematian kata-kata. Alasan apa pula yang nak diberi? Dia takut nak sebilik dengan Dhamirah? Tentu Datuk Hamdi pakat gelakkan dia. Dan dah tentu beri kemenangan pada Dhamirah.
                “It just, apa?” Datuk Hamdi bertanya setelah agak lama membiarkan Haris menyambung kata. Sesekali mata merenung Dhamirah yang tunduk membelek jari sendiri. Datuk Hamdi sembunyi senyum. Bukan dia tak sedar, Haris tentu buat keputusan sendiri-sendiri tanpa berbincang dengan Dhamirah. Kalau tidak, tentu menantunya itu dah banyak menjawab memberi alasan.
                “Ayah… please.. It’s my life. It’s our life. Kami kena tentukan arah rumahtangga kami sendiri.”
                “Nak tentukan apa kalau kamu buat hal masing – masing. Itu dekat rumah ni, kalau pindah keluar nanti, entah jadi apa.” Datin Marina membebel. Tidak puas hati. Baru nak berbaik semula dengan anak menantu, Haris buat perangai gila pula. lagipun, kalau anak dan menantunya tiada, siapa pula nak melayan dia bercakap? Datuk Hamdi sudah tentu sibuk di pejabat sepanjang hari.
                “Mummy…” Haris merengek manja. Minta pengertian semua orang. Sesekali mata menjeling Dhamirah. Gadis itu masih buat tidak tahu. Dia mengetap bibir, sikap protes dalam diam Dhamirah buat dia geram.
                “Mummy, ayah… kami minta peluang hidup sendiri. Betul cakap abang Haris, kami kena belajar mengenali satu sama lain. Kat rumah sendiri, kami lebih bebas tentukan arah rumahtangga kami.” Dhamirah akhirnya membuka mulut. Kasihan dengan Haris yang cuba menegakkan benang basah sendiri. Walaupun dia kurang bersetuju dengan rancangan Haris, namun sebagai isteri dia kena akur.
                Tidak berkelip mata Haris memandang Dhamirah. Tadi protes sangat, sekarang tiba-tiba sahaja ikut bersetuju dengan rancangan dia.
                “Mummy tetap tak setuju!” Datin Marina membentak sambil bangun dari duduknya. Tanpa sempat dihalang, langkah Datin Marina laju memanjat anak tangga ke tingkat atas. Haris yang memandang, melepas keluh. Susah benar ingin memujuk mummynya itu.
                “Kalau kamu rasa, itu yang terbaik untuk kamu, ayah izinkan. Tapi ingat Haris, ayah izinkan kamu pindah ni, bukan bermakna kamu boleh buat suka-suka hati dekat Dhamirah. Ingat yang dia tu isteri kamu. Kamu sepatutnya melindungi dan menjaga dia, bukan menzalimi dia.” Datuk Hamdi sempat memberikan nasihat. Walau keizinan sudah diberi tetapi hatinya tetap diserang bimbang. Takut menantunya didera oleh anaknya sendiri.
                “Insyaallah, ayah. Tapi, mummy tu…?”
                “Tentang mummy tu, nanti ayah pujuk dia. Dia terkejut aje tu. Tak lama nanti, oklah dia tu.” Penerangan itu buat Haris tersenyum lebar. Gembira hatinya bila rancangannya suah hampir Berjaya. Kalau diikutkan hati, esok juga dia mahu berpindah. Sudah tidak sanggup untuk sebilik lagi dengan Dhamirah.
                “Thanks ayah. Thanks a lot.” Ucap Haris perlahan. Dia mengerling Dhamirah yang diam sejak tadi. Kelihatan Dhamirah seperti resah dan asyik menjeling ke atas.
                “Kenapa ni?” tanyanya bila Dhamirah sudah seperti cacing kepanasan. Tidak senang duduk.
                “Err.. Mira naik atas dulu ye. Tengok mummy..” Dhamirah terus bangun. Tidak dipedulikan panggilan Haris dan langkahnya laju memanjat anak tangga.
                “Biarkan dia Haris. Girls talk.” Datuk Hamdi menegah dan Haris hanya mengangguk perlahan.
******************************************************************************
                Pintu bilik di tutup perlahan sebaik Dhamirah melangkah masuk. Dia menuju lemah ke sofa dan duduk bersandar sambil menutup mata. Kepala terasa sakit dengan perkhabaran baru yang di bawa Haris. Berada di banglo mewah ini sahaja sudah buat dia pening kepala, bagaimana pula keadaannya bila berpindah rumah nanti? Mereka berdua sahaja di rumah baru itu nanti dan tentu Haris bebas berbuat sesuka hatinya kepada dia.
                “Kenapa?” soalan itu pantas membuka mata Dhamirah. Sepasang matanya dijamu dengan tubuh kekar Haris yng lengkap berpakaian baju melayu dan kain pelekat. Melihat wajahya yang basah, Dhamirah boleh agak yang Haris dalam keadaan berwuduk.
                “Tak ada apa. Abang nak solat?” Tanyanya berdalih. Dia segera bangun untuk memberi ruang kepada Haris. Duduknya dilabuhkan pula di birai katil. Tetapi Haris tidak membentang sejadah, sebaliknya duduk pula di sofa tempat dia duduk tadi.
                “Aku tanya kenapa?”
                “Kenapa apa?” Masih tidak mahu membuka cerita kepada Haris, Dhamirah cuba bermain tarik tali wala dia tahu Haris cukup benci dia begitu.
                “Please, Dhamirah. I know you hiding something. Apa halnya?” Haris bersuara tegas. Mula panas hati dengan sikap dolak dalih Dhamirah walau dia sudah dapat menjangka perkara apa yang mengganggu fikiran gadis itu.
                “Perlu ke kita pindah?” luah Dhamirah akhirnya setelah dia melepaas nafas panjang. Bimbang soalannya akan menaikkan marah Haris. Angin Haris bukan boleh dijangka, kalau nak marah, tengah bincang baik-baik begini pun, Haris boleh menengking dia.
                “I’ve explained everything, Dhamirah. Apa lagi yang kau tak puas hati?”
                “Kenapa abang tak bincang dengan Mira dulu?”
                “Do I need to?” Haris memandang Dhamirah tajam. Suaranya mula tinggi.
                “Mira terkejut bila abang tiba-tiba cakap hal tu depan ayah dan mummy. Mira tak tahu apa-apa. Kalau Mira tahu-“
                “Kalau kau tahu, kau nak buat apa?”
                “Sekurang-kurangnya Mira tak terkejut.” Dhamirah melepas keluh. Susahnya berbincang dengan lelaki seego Haris. Wajah Haris yang mula memerah kerana menahan marah dipandang sayu. Begini sahaja Haris sudah marah-marah, bagaimana nanti di rumah yang hanya ada mereka berdua.
                “Kau yang yakin sangat menjawab tadikan. Kononnya, mana aku nak bawa kau, kau ikut aje. Sekarang ni apa?” Marah Haris sudah memuncak. Tadinya dia bersyukur kerana Dhamirah yang tidak tahu apa-apa mengikut sahaja rentaknya. Sekarang isterinya itu sudh banyak bunyi pula.
                Dhamirah mengeluh perlahan mendengar suara petir Haris. Bilakah Haris akan faham yang segala yang dia buat adalah kerana dia wajib menjaga maruah dan aib Haris sebagi seorang suami. Takkan pula dia nak bertengkar dan bertikam lidah dengan Haris di depan kedua orang tua lelaki itu?
                “Mira dah mengantuk. Esok Mira ada kelas pagi. Boleh abang… err.. bangun?” Tanya Dhamirah lembut. Tempat yang Haris sedang duduk itu adalah tempat tidurnya. Walaupun tidak seempuk tilam di katil bersaiz king ini, namun dia tetap lena beradu di sofa itu.
                Kali ini, Haris pula yang melepaas keluh. Lain yang dia tanya, lain pula yang Dhamirah jawab. Malas mahu memanjangkan cerita, Haris bangun juga dari duduknya. Tanpa menjawab soalan Dhamirah, dia mencapai sejadah di penyangkut.
                “Aku nak solat dulu. Kau tidurlah disitu dulu, dah selesai nanti, aku kejut kau.” Arah Haris. Tanpa menunggu jawapan Dhamirah, dia terus mengangkat takbir untuk menunaikan solat Isyak.

No comments:

Post a Comment