Monday 13 February 2012

Bab 2 : Ingin Ku Lafazkan Cinta


2.
                Ketukan di pintu mengganggu anganan yang semakin bergerak jauh. Segera dia membetulkan duduk sebelum memberi keizinan masuk. Pintu bilik di pulas, terjengul wajah Puan Sri AIsyah di muka pintu.
                “Boleh mama masuk?” Lembut bicara itu memohon keizinan.
                “Masuklah, ma.” Izinnya sambil menghampiri pintu. Segelas air di tangan Puan Sri Aisyah diambil lalu diletakkan di meja kerja yang bertaburan dengan fail pelbagai warna. Tebal dan nipis berselerakkan, membuat mata tua Puan Sri Aisyah sakit. Tanpa berkata apa, tangannya lincah mengemaskan meja yang bersepah.
                “Tak payah kemaslah, ma. Nanti Id nak guna, bersepah juga balik. Biar aje kat situ.” Kata lelaki yang membahasakan dirinya Id itu. Tidak mahu Puan Sri Aisyah bersusah payah mengemaskan mejanya sedangkan bila dia sudah mula bekerja, meja itu tetap akan bersepah juga.
                “Dah guna tu, cubalah kemaskan Id. Tak sakit ke mata kamu tengok meja bersepah – sepah macam ni?” Puan Sri Aisyah sudah memulakan sesi berleternya. Anak lelaki sulungnya ini memang tidak pandai berkemas langsung. Semuanya nak diharapkan pembantu rumah yang buatkan.
                “Kalau kemas sangat nanti, Id tak tahu mana nak cari fail yang Id nak guna. Biar ajelah, ma. Bik Suti boleh buat semua tu.” Balas Id sambil tangannya memegang tangan mamanya yang masih lincah mengemas. Terhenti perbuatan Puan Sri Aisyah, mencerlun matanya merenung mata anak lelakinya itu. dia melepas nafas bila Id hanya mempamer senyum menggodanya dengan pandangan mata itu. Dia tahu, Puan Sri Aisyah marah dengan apa yang dibuatnya itu. Lantas, tangan Puan Sri Aisyah ditarik ke sofa dan dia menyuruh mamanya duduk.
                “Banyak kerja sekarang?” Tanya Puan Sri Aisyah lembut. Selembut perwatakannya. Matanya masih tidak puas merenung anak teruna yang kini menginjak usia 30 tahun. Kacak, segak, bergaya dan penuh karisma. Satu pakej lengkap yang buat ramai anak gadis di luar sana tergila – gilakan anak lelakinya itu.
                “Biasalah, ma. Banyak projek yang kita rancang sekarang. Banyak tender yang masuk untuk projek hotel kita kat Johor tu.” Bicara Id, juga lembut. Renungan mamanya di balas lembut. Jelas terbayang rasa kasih dan sayang dalam renungan itu.
                “Anak mama Nampak letih sangat. Jangan paksa diri, Id. Your holiday didn’t help that much ye?” Usik Puan Sri Aisyah. Terpaku Id mendengar usikan itu, pantas dia melarikan anak mata. Tidak mampu lagi menentang anak mata yang sarat dengan rasa sayang itu.
                “Idraki Zuhayr, kamu larikan mata setiap kali mama sebut tentang holiday kamu. Apa yang berlaku sebenarnya? You’re hiding something, isn’t it?” Tanya Puan Sri Aisyah. Dia sudah masak dengan fiil setiap anaknya. Dan anak yang seorang ini, setiap kali melakukan kesalahan, tidak akan pernah mampu untuk bertentang mata dengan dia dan juga ayahnya.
                Idraki Zuhayr menarik nafas dalam. Bila mama sudah menyebut nama penuhnya, maknanya mama sudah boleh menghidu sesuatu yang tidak betul. Idraki tunduk merenung lantai sebelum meraup muka. Kemudian, dia kembali memandang Puan Sri Aisyah dengan senyuman manis.
                “Nothing to hide from you, mama. Everything’s ok. Tak ada apa yang istimewa dengan holiday tu. You know exactly kenapa Id pergi sana, kan?” Dalih Idraki. Belum masanya untuk mama tahu tentang keresahannya. Dia perlu selesaikan sendiri masalah yang mengganggu sebelum diceritakan semua pada mama dan ayah.
                Puan Sri Aisyah melepas keluh, namun bibirnya masih menguntum senyum. Idraki Zuhayr, anak yang sentiasa cuba menyenangkan dia dan suaminya. Sentiasa cuba menyelesaikan masalah sendiri tanpa bantuan sesiapa. Tetapi kadang kala, sikap begitulah yang buat hati tuanya risau. Dia tidak boleh menjangkau lebih dalam ke hati anaknya itu. Idarki akan sentiasa mempamer wajah tenang walau dadanya sarat dengan masalah.
                “Mama tahu, sayang. Dan mama rasa, Id tak pulang dengan dada yang lapang, kan. Tak apalah kalau Id rasa belum masa nak kongsi dengan mama. I’ll be here whenever you need me. Cuma, mama harap, anak – anak mama tak buat sesuatu yang boleh malukan mama dan ayah. Can you promise that?” Pertanyaan itu buat Idraki terkedu. Ye, mama dan ayah sudah beri dia dan adik – adik cukup pendidikan agama dengan harapan dia tidak tergelincir dari ajaran agama yang unggul. Tapi kini, rasanya dia sudah mengkhianati mama dan ayahnya. Dia jadi malu pada mama, pada ayah. Lebih malu pada adik – adik yang sering menjadikan dia contoh terbaik.
                “Id, boleh janji itu dengan mama?” Tanya Puan Sri Aisyah lagi bila tiada jawapan dari Idraki. Kebisuan Idraki buat dia rungsing. Dia mahu Idraki jadi lelaki mulia.
                “InsyaAllah, ma. Even if I break that promise, Id akan pastikan Id tebus balik semua kesalahan Id.” Idarki membalas dengan senyuman. Tangan tua mamanya dielus lembut. Mohon pengertian dari Puan Sri Aisyah. Jelas kerutan di dahi Puan Sri Aisyah, cuba menafsir kata – kata Idraki. Namun seketika kemudian, bibirnya kembali lebar dengan senyuman.
                “Kita manusia memang selalu buat kesilapan. Baguslah kalau Id sedar salah dan silap Id. Ni, tentang Ayra. Have you settled?” Puan Sri Aisyah menukar topic, namun masih belum membuat jiwa lelaki Idraki tenang. Dia menarik nafas dalam sebelum menghelanya perlahan. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Lantas bangun dari sofa dan melangkah ke tingkap yang menghadap taman mamanya yang dijaga cantik.
                “Mama masih harapkan Ayra jadi menantu mama ke?” Soalan dijawab dengan soalan. Entah bagaimana dia ingin menerangkan rasa hatinya kepada Puan Sri Aisyah. Bukan sedikit khianat yang dibuat Ayra. Sehingga dia jadi kecewa begini, hingga dia hampir – hampir tidak percaya lagi kepada makhluk bergelar perempuan.
                “Mama tak kisah siapa pun yang jadi menantu mama. Cuma mama harap dia gadis yang baik – baik. Pasal Ayra ni, kalau betul kamu berdua tak boleh bersama, selesaikan dengan cara baik. Jangan biarkan tergantung macam ni. Dah lama sangat rasanya. Tak baik, Id. Parents Ayra jugak dah mula bertanya mama ni.” Puan Sri Aisyah memberitahu. Perihal Idraki dan Ayra tidak pernah selesai. Sejak berpacaran di zaman university, ada sahaja perkara yang berlaku. Bergaduh dan baik semula sudah jadi asam garam dalam percintaan anaknya ini dengan gadis pilihan hati. Namun. Jodoh antara mereka kuat agaknya. Walau macam mana bergaduh pun, akhirnya Idraki akan memujuk Ayra semula. Cuma kali ini, Idraki kelihatan keberatan benar ingin bersama semula dengan Ayra. Entah apa masalahnya, Idraki tidak pernah bercerita secara terperinci.
                “Id tak rasa ada jodoh antara kami, ma.” Pendek jawapan Idraki. Sudah tidak tahu bagaimana harus diterangkan kepada Puan Sri Aisyah tentang keadaan dia dan Ayra. Walau apa pun yang berlaku, maruah Ayra mesti dia jaga. Ayra seorang perempuan, maruah adalah segalanya pada seorang perempuan, walau Ayra mungkin tidak ambil berat.
                “Jodoh dan pertemuan memang ketentuan Allah, Id. Tapi, kita juga kena berusaha. Tak boleh serahkan semuanya pada takdir. Id betul – betul dah tak sayangkan Ayra?” Tanya Puan Sri Aisyah lagi. Idraki mengeluh perlahan. Mama tak tahu cerita sebenar, jawab hatinya namun tidak terluah. Dia beralih dari tingkap dan berdiri menghadap Puan Sri Aisyah. Dia mengukir senyuman tetapi mamanya pasti tahu yang senyuman itu tidak lahir dari hati.
                “Bunyi macam mama dah tak sabar nak ada menantu.” Usik Idraki. Meletus tawa dari bibir Puan Sri Aisyah. Dia menepuk perlahan bahu anak terunanya yang lebih tinggi. Menyeringai Idraki kesakitan walau sakit itu tidak seberapa.
                “Bukan setakat menantu, mama teringin nak ada cucu. Dah lama benar rumah ni sunyi dari nangis baby.” Puan Sri Aisyah turut sama mengusik. Dia memang sudah teringin benar ada cucu. Biar bertambah meriah rumah besar ini. Sejak anak – anak sudah besar, dia sering ditinggalkan keseorangan. Apa lagi bila Idraki mengambil keputusan untuk hidup sendirian di kondominium mewah di pinggir kota metropolitan ini.
                “Huish… Advance sungguh mama ni. Calonnya belum ada, dah terfikir nak bercucu pulak ni.” Balas Idraki lalu memeluk bahu Puan Sri Aisyah. Usik mengusik memang selalu menghiasi mereka anak beranak. Kalau ayah dan adik – adiknya ada, tentu lebih meriah.
                “Calonnya dah lari. Nampaknya lambat lagi lah mama nak timang cucu ni.” Bicaranya Puan Sri Aisyah buat Idraki meleret senyum lebar. Tiba – tiba bayangan wajah itu melintasi ruang mata. Mengingati itu, mamanya di pandang tunak. Mungkinkah boleh?, Tanya hatinya.
                “Anak mama ni pujaan ramai. Seorang lari, sepuluh yang datang tau.”
                Puan Sri Aisyah ketawa lagi. Dalam kegusaran hati Idraki, anaknya itu masih mampu untuk berjenaka. Dalam senang hatinya melihatkan perwatakan Idraki, dia masih bimbang. Bimbang Idraki terseksa akibat terlampau berahsia dengan semua orang.
                “Kalau satu hari Id bawa calon menantu, mama terima tak?” Soal Idraki setelah agak lama mereka berdiam diri melayan perasaan sendiri.
                “Kan mama dah cakap, mama tak kisah siapa pun jadi menantu mama. Asalkan dia gadis baik – baik. Pandai hormat orang tua, pandai hormat Id sebagai suami suatu hari nanti. Boleh jaga maruah dan yang paling penting, boleh lahirkan cucu yang ramai untuk mama dan ayah.”
                “Eh?.... Tadi syaratnya Cuma gadis yang baik – baik. Sekarang, dah panjang lebar pulak syaratnya ye?” Idraki kembali mengusik. Puan Sri Aisyah membuntangkan mata, dia terkena lagi. Sekali lagi dia menepuk bahu Idraki dan anaknya itu hanya membalas dengan memeluk bahu ibu kesayangannya.
                “Pandai menjawab!” Marah Puan Sri Aisyah namun Idraki hanya ketawa dengan kata – kata itu.
                “Jom kita turun minum petang. Ayah mesti dah balik sekarang ni.” Idraki memeluk kembali bahu Puan Sri Aisyah dan sedikit mendorong wanita itu berjalan beriringan untuk turun ke bawah.
                “Nak lari dari soalan mama lah tu. Tak apa, nanti esok – esok, mama Tanya juga.”
                “Okey. Esok – esok, Id jawab ye mama.” Balas Idraki. Dia mengaduh kesakitan bila Puan Sri Aisyah mencubit pinggangnya.
                Sampai di ruang makan di tingkat bawah, Tan Sri Khalid sudah menanti di meja makan. Dia yang baru pulang dari bermain golf dengan teman – teman seperniagaan, agak pelik melihat isteri dan anaknya berbual santai. Bila Puan Sri Aisyah dan Idraki menghulur tangan untuk bersalaman, dia masih keliru dengan apa yang dibualkan oleh dua beranak itu.
                “Apa yang dibualakan tadi tu? Gembira semacam aje?” Tanya Tan Sri Khalid. Dia menanti Puan Sri Aisyah menuangkan teh ‘o’ yang menjadi kesukaannya. Satu demi satu wajah dihadapannya di pandang silih ganti.
                “Anak teruna abang ni, nak bawakan Aisyah menantu.” Jawab Puan Sri Aisyah. Serentak itu, Idraki yang baru menghirup air tersedak. Merah mukanya bila Tan Sri Khalid memandang dia penuh teruja.
                “Betul? Kamu dah okey ke dengan Ayra? Eloklah tu, bila ayah dan mama boleh pergi meminang ni?” Soal Tan Sri Khalid teruja. Dia juga seperti isterinya, sudah tidak sabar mahu menerima menantu, seterusnya menimang cucu. Idraki pula yang terkedu dan bagai tidak dapat bersuara.
                “Erk… Id cakap suatu hari nanti. Bukan sekarang, ayah. And most probably, not Ayra.” Jawapan Idraki buat Tan Sri Khalid memandang isterinya dengan tanda Tanya. Puan Sri Aisyah pula hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Pandangannya kembali kea rah Idraki. Anak itu leka dengan kuih seri muka di tangan tetapi jelas air mukanya menerawang jauh.
                “Kalau bukan Ayra, siapa? Kamu dah ada girlfriend baru?” Tan Sri Khalid masih tidak jemu mengorek rahsia. Setahunya, Idraki hanya setia pada Ayra seorang. Tetapi kini, Idraki bermain teka teki pula.
                “InsyaAllah, satu hari Id bawa dia jumpa ayah dan mama ye.” Hanya itu jawapan Idraki. Buat ayah dan mamanya semakin tertanya – Tanya. Bagi Idraki pula, wajah mulus yang sentiasa menghantui fikirannya itu bagai dipatri di dalam hati. Hatinya sudah tekad untuk mencari gadis itu dan menebus kembali kekhilafan yang pernah dilakukannya.

No comments:

Post a Comment