Friday 24 February 2012

Bab 7 : Ingin Ku Lafazkan Cinta

7.
                Usai menunaikan solat Isyak malam itu, Ayu menyarung tudung di kepala lalu kakinya di arah ke balkoni. Tempat persinggahan yang menjadi kegemarannya. Tempat yang boleh buat dia berangan jauh dan rasa tenang. Novel Adam & Hawa di kepit di celah ketiak. Novel yang sudah lama berada di pasaran tetapi baru kini dia berpeluang membacanya. Itupun, dia meminjam dari Kak Rosnah, pegawai eksekutif syarikat Pak Long yang menjadi salah seorang teman baiknya di syarikat itu. Ayu melabuh duduk di kerusi rotan, termenung seketika sebelum mula membaca novel yang belum pun separuh dibacanya.
                “Nampak ke baca kat sini gelap – gelap ni?” Teguran itu mengganggu pembacaan Ayu. Dahinya berkerut, lalu dia menoleh ke arah suara itu. Di belakangnya, Luth berdiri sambil menyandar sisi tubuh di pintu gelangsar. Tubuhnya masih tersarung kemeja yang bahagian lengannya sudah dilipat hingga ke siku dan masih berseluar slack hitam. Mungkin baru pulang dari pejabat. Dahi Ayu semakin berkerut melihat gaya Luth berdiri itu. Suka sangat buat gaya berdiri macam itu, ingat dia model ke? Ayu merungut dalam hati. Budget handsome lah tu buat gaya macam tu, hatinya masih merungut – rungut. Eh, tapi dia memang handsome pun. Hati Ayu bertingkah sesame sendiri. Buat Ayu lupa untuk menjawab soalan dari Luth sebentar tadi.
                “Aku tahu aku handsome, tapi tak usahlah pandang aku macam nak tembus.” Perli Luth. Dia membetulkan gaya. Dari bersandar dengan sisi tubuh, dia melangkah sedikit depan dan menyandarkan pula belakang tubuhnya ke dinding. Matanya tidak lepas memerhati mata Ayu. Mata bulat yang sangat cantik. Mata yang kehilangan sinar sejak ibu bapanya meninggal dulu, kini sudah mula bercahaya semula.
                “Perasan!” Ayu mencebik. Novel pantas dibukanya semula. Cuba untuk tidak memperdulikan kehadiran Luth di belakangnya. Luth tarik senyum, suka hatinya bila dapat mengusik Ayu.
                “Aku Tanya lain, dia jawab lain. BM kau masa SPM dapat berapa, ha?” Luth mengusik lagi. Tidak mahu Ayu larut dalam pembacaannya. Sudah beberapa malam dia Nampak Ayu berehat di balkoni ini ketika dia balik rumah, namun kerana keletihan, dia tidak berminat untuk menegur. Cuma malam ini, dia jadi terlebih rajin pula untuk singgah dan menegur Ayu.
                “Huh, suka hati Ayu lah nak baca kat mana. Nampak ke tak Nampak, mata Ayu. Bukan mata abang.” Tukas Ayu geram. Kenapalah abang sepupunya ini suka sangat cari pasal dengan dia. Tak bolehkah Luth biarkan dia hidup aman?
                “Tengok. Memang sahlah BM kau fail ni. Lain yang aku Tanya, lain yang kau jawab.” Luth tertawa kecil sambil menggelengkan kepala. Sengaja nak bikin hati Ayu panas. Hanya bila gadis itu marah marah, baru dia Nampak wajah itu memerah. Dan, wajah memerah itulah yang dia sangat suka tengok.
                “Eee… kacau orang ni, kenapa? Abang baru balik, kan? Pergilah masuk bilik, mandi! Busuklah.” Marah Ayu namun suaranya ditahan dari menjerit. Dia tidak mahu semua penghuni rumah terjaga pula kalau dia menjerit memarahi Luth.
                Luth sembunyi senyum namun masih tidak berganjak. Ayu yang kembali menumpukan perhatian pada novel direnung dalam. Semakin direnung, perasaannya jadi tidak menentu. Gadis di hadapannya itu sering buat dia tidak senang duduk jika mereka berhadapan.
                “Macam mana kerja dengan Along? Okey?” Luth membuka bicara setelah tadi mereka sama – sama membisu. Dari bersandar di dinding, dia mengambil duduk di kerusi sebelah Ayu. Terdengar Ayu mengeluh perlahan, mungkin terasa terganggu dengan soalan Luth sebentar tadi.
                “Okey.” Jawabnya sepatah. Mata masih tidak berganjak dari novel, berpura – pura membaca dengan khusyuk. Membuah sakit di hati Luth kerana tidak diperdulikan oleh gadis itu.
                “Okey aje? Along tak garang? Tak bebankan kau dengan kerja – kerja berat?” Tanyanya lagi tidak puas hati. Dari sisi, dia mengamati wajah Ayu. Dalam samar cahaya, wajah putih gebu itu makin menarik minatnya. Ayu menutup novel kerana terganggu dengan soalan – soalan Luth. Dia mengalih posisi duduk, kini betul – betul menghadap Luth.
                “Okey. Abang Luqman bukan macam abang, nak sakitkan hati orang je.” Sindir Ayu dalam marah. Luth ketawa kecil, gembira kerana Berjaya membuat Ayu lupa pada novel yang dibacanya.
                “Bila masa aku sakitkan hati kau?” Tanya Luth sedikit marah.
                Hanya jelingan tajam yang diterima Luth sebagai jawapan. Suasana kembali bisu antara mereka. Tiada lagi soalan dan jawapan berbisa. Sudah tidak boleh memberi tumpuan pada novel, Ayu hanya memandang ke langit. Mengira bintang, leka melayan angan tentang masa depan. Masa depan yang dirasakan gelap walau kini dia sudah mula menerima hakikat.
                “Aku masuk dulu. Penat.” Terdengar suara dari Luth lantas dia berpaling. Luth sudah berdiri dan sudah mula mengatur langkah.
                “Abang Luth.” Panggilnya tanpa sempat berfikir. Langkah Luth terhenti tetapi lelaki itu tidak berpaling pun untuk memandang Ayu. Hanya senyap menanti bicara Ayu. Kedua belah tangannya di seluk ke dalam kocek seluar.
                “Err… Terima kasih.” Ucap Ayu perlahan. Kelu untuk mengucapkannya kerana sesaat dia terpaku pada gaya Luth. Tampan dan penuh karisma walau pakaian masih belum berganti di dinihari begini.
                “Untuk apa?” Luth menoleh. Dahinya berkerut seribu. Tidak faham apa perlunya Ayu berterima kasih. Seingatnya, dia tidak pernah memberi apa – apa yang boleh buat gadis itu berterima kasih. Yang dia tahu, hanya menyakitkan hati Ayu sahaja.
                “Sebab abang cadangkan Ayu kerja dengan Abang Luqman. Juga sebab sedarkan Ayu.” Perlahan Ayu mengatakannya. Takut ditertawakan oleh Luth. Lelaki itu kan suka kalau dia kalah. Ayu tunduk menekur lantai, tidak berani menentang mata tajam milik Luth.
                It’s nothing. Tak perlu terima kasih pun.” Ujar Luth tanpa perasaan. Mula melangkah meninggalkan balkoni, meninggalkan Ayu yang mengetap bibir, geram. Luth Hakimi memang tidak ada perasaan! Marah Ayu. Dia menebarkan pandangan ke dada langit, cuba membuang perasaan marah dan sakit hati disebabkan Luth.
                “Abang hanya nak Ayu gembira. By the way, kasihmu diterima.” Bisik satu suara perlahan di telinga Ayu. Terkejut dengan suara selembut itu, Ayu segera menoleh. Lebih terkejut bila bibirnya hampir sahaja mencium pipi Luth yang menunduk untuk berbisik sebentar tadi. Anak mata lelaki itu merenung dalam ke anak mata Ayu. Lama mereka bertatapan sehingga mengundang debar di hati Ayu. Dia segera melarikan pandangan, wajahnya kembali di paling kedepan. Spontan, jarinya naik menekan dada. Cuba menenangkan debar yang menghentam dada. Sakit tapi hatinya terasa tenang. Apa ni? Bisik hatinya.
                Perilaku Ayu membuah senyum di bibir Luth. Dia sendiri terkejut bila bibir Ayu terlalu dekat dengan pipinya sebentar tadi. Kalau diikutkan nafsu jantannya, pasti bibir itu sudah lama dijamah. Namun dia belum gila, masih ingat batas agama dan masih kuat pegangan walau iman tidaklah setebal mana. Berbunga riang hatinya bila melihat Ayu yang kalut melarikan wajah dan aksi yang menunjukkan Ayu juga punya debaran yang sama dengannya.
                “Good night. Jangan berembun lama sangat kat sini. Nanti sakit, aku jugak yang susah.” Luth berlalu pergi tanpa menunggu jawapan Ayu. Meinggalkan Ayu terpinga – pinga. Perangai Luth memang berubah – ubah. Kalau tak silap, tadi elok sahaja membahasakan dirinya abang dan memanggilnya Ayu. Tapi berubah semula jadi aku dan kau tak berapa lama. Keliru betul dia. Matanya menatap semula dada langit, mengingati peristiwa yang baru berlaku. Ya Allah… kenapa sampai jadi begitu. Mujur tidak tercium pipi lelaki itu tadi. Kalau tidak, bertambah lagi dosa yang sudah tidak tertanggung ini. Secara tiba – tiba, peristiwa tadi membawa dia kembali ke peristiwa lebih sebulan dulu. Peristiwa yang mengubah hidupnya seratus peratus. Peristiwa yang membuat dia hampir membunuh diri. Dan entah kenapa, kata – kata Luth memberi kekuatan yang bukan sedikit dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment